![]() |
Vios terbabas dan melanggar tiang, mangsa maut di lokasi kejadian |
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan maut di lokasi kejadian selepas kereta jenis Toyota Vios yang dipandunya terbabas sendiri lalu melanggar tiang di Jalan Pintas Bulatan Kampung Kopungit tengah malam Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Masri Gari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 12.26 pagi.
"Selepas menerima panggilan kecemasan, seramai 13 anggota pasukan bomba balai kami dikejarkan ke lokasi kejadian bersama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SESB.
"Kenderaan mangsa terbabas sendiri lalu melanggar tiang Telekom serta papan tanda di tepi jalan," katanya lagi.
Walau bagaimanapun, identiti mangsa yang berumur 27 tahun itu belum dapat disahkan.
"Anggota penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa daripada kenderaan itu menggunakan peralatan khas.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan KKM dan mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Rabu.
Operasi menyelamat selesai pada pukul 1.20 pagi.