TONGOD: Daerah ini membuka lembaran baharu apabila sebuah mini stesen minyak petrol dan diesel pertama dibuka di Kampung Sanan dekat di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, beliau mengalu-alukan kewujudan stesen itu selain berharap ianya menjadi kemudahan penduduk di daerah itu tanpa perlu ke daerah berdekatan untuk mendapatkan bahan bakar.
"Tongod yang berkeluasan 10.050 kilometer persegi mengatasi negeri Kedah, selama ini tidak mempunyi stesen minyak dan penduduknya terpaksa mendapat bekalan minyak kenderaan daripada daerah Telupid dan Sook.
"Stesen Petron itu yang diusahakan penduduk tempatan Tongod dan seorang pesara guru, Mandik Yadam, 70, dan diharap bakal menjadi medan penduduk daerah ini," katanya ketika merasmikan pembukaan stesen itu pada Sabtu lalu.
Selain lokasinya di tepi jalan laluan antara Pekan Tongod dan Telupid, Mandik dan keluarganya turut mengusahakan mini market dan restoran.
Menurut pesara guru itu, beliau dan keluarga menyediakan modal pusingan sebanyak RM500 ribu untuk membuka mini stesen minyak yang mengandungi dua pam itu.