TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit kes pecah masuk sebuah pejabat di sekitar kawasan Centery Industrial Estate, Batu 3, Jalan Apas, Tawau pada Sabtu lalu (3 Ogos).
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihak Polis menerima laporan daripada seorang kerani syarikat tersebut berhubung kes pecah pejabat pada 29 Jun lalu membabitkan kerugian wang tunai berjumlah RM902.22 serta sebuah telefon bimbit berjenama.
Susulan itu, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berdasarkan hasil siasatan dan risikan telah menahan seorang suspek lelaki warga asing berusia 31 tahun di sekitar perkampungan Batu 3, Jalan Apas, Tawau kira-kira pukul 12.30 tengahari.
Menurutnya, hasil siasatan awal, suspek telah membawa pihak Polis ke sebuah rumah tidak bernombor di sekitar kawasan kampung Batu 3, Jalan Apas, Tawau.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut, pihak Polis telah merampas sebuah beg sandang dan sebuah telefon bimbit berjenama yang disyaki terlibat dengan kes yang disiasat,” katanya.
Jelasnya, suspek bersama barang rampasan tersebut di bawah ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun keseksaan.