Tambah kerjasama pelbagai agensi, pertingkat mutu pendidikan Sabah

Mohd Arifin merasmikan penutupan SET 2024


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam merealisasikan agenda kerajaan ke arah memperkasa, meningkatkan kecemerlangan dan mutu pendidikan di negeri ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kerjasama seumpama itu amat penting kerana kecemerlangan pendidikan akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kehidupan rakyat secara keseluruhannya. 

"Usaha itu termasuklah menambah baik dan meningkatkan lagi prasarana pendidikan di negeri ini, seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan modal insan yang berkemahiran, cemerlang dan mampu bersaing.

"Semua pihak yang berkaitan seperti Jabatan Pendidikan, warga pendidik dan ibu bapa perlu bekerjasama demi kejayaan dan masa depan anak-anak kita," katanya.

Mohd Arifin berkata demikian ketika berucap ketika merasmikan Majlis Makan Malam bagi Penutupan Sabah Education Tech (SET) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.

Tambah beliau lagi, kerajaan turut menyediakan peruntukan khas bagi tujuan memperkasa pendidikan.

"Dalam tahun 2024 ini, kerajaan telah menyediakan memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta untuk pendidikan. 

"Kerajaan negeri juga sudah melancarkan Portal Tajaan Pendidikan Sabah yang menggabungkan semua penaja utama dalam pendidikan di negeri ini melalui satu platform. 

"Ia adalah inisiatif baharu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam memperkasa bantuan kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi," katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Arifin berharap agar program SET mampu menarik lebih ramai penglibatan agensi-agensi kerajaan, Government Linked Company (GLC) untuk turut serta dan bekerjasama menyokong kerajaan negeri Sabah mencapai objektif melalui visi ekonomi digital untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Selain itu, Mohd Arifin turut menyatakan bahawa teknologi telekomunikasi di Sabah di mana perlu diberi tumpuan untuk membawa masuk teknologi ICT terkini seiring dengan perkongsian strategik yang penting bagi ekonomi digital. 

"Pengetahuan syarikat mahupun agensi kerajaan yang terlibat amat diperlukan bagi menyokong inisiatif lain seperti bandar pintar, hubungan pintar luar bandar, kampus pintar, pertanian pintar, pendidikan pintar dan bangunan pintar.

"Kita mengharapkan agar inisiatif ini mampu menarik minat pihak pelabur dalam industri digital dan teknikal agar turut menjadi sebahagian daripada usaha menyokong transformasi ekonomi dan Pendidikan digital di negeri Sabah," jelasnya lagi.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama