KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas dadah jenis Methamphetamine (syabu) seberat 20,393 gram dengan anggaran bernilai RM667,729.44 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau pada 30 Julai lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, perincian tangkapan pertama di Lapangan Terbang Tawau kira,kira pukul 12.30 tengah hari, pegawai kastam bertugas di cawangan pemeriksaan penumpang, menahan seorang lelaki Cina berusia 29 tahun bersama sebuah bagasi penumpang berwarna hitam untuk membuat imbasan imej.
"Hasil imbasan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut mendapati terdapat 10 bungkusan plastik berwarna hijau kuning jenama Guanyinwang yang disyaki mengandungi dadah berbahaya.
"Pemeriksaan lanjut ke atas 10 bungkusan plastik itu menemui sejumlah dadah jenis syabu dengan berat kasar 10,199 gram dan dianggar bernilai RM326,389.44.
"Semua dadah dibungkus menggunakan plastik lain dipercayai untuk mengelirukan pihak berkuasa," katanya dalam sidang media JKDM Zon Sabah di sini, pada Isnin.
Sementara itu, perincian bagi rampasan di KKIA, Siti berkata, kira-kira pukul 1 petang, anggota penguatkuasaan KKIA bersama Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) memeriksa sebuah bagasi penumpang yang mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan rapi ke atas bagasi tersebut, pasukan serbuan JDKM telah menemui 10 bungkusan plastik hijau mengandungi dadah berbahaya.
"Pemeriksaan lanjut mendapati dadah jenis syabu dengan berat kasar 10,194 gram dianggar bernilai RM341,340.
"Kes ini juga berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun berhubung kes pengedaran dadah di KKIA," jelasnya.
Dalam pada itu, Siti berkata, kedua-dua kes kini dalam siasatan lanjut untuk mengesan sebarang jaringan sindiket yang lebih besar dan memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.
Kedua-dua kes juga sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Sehubungan itu katanya, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.