SUKUM medan warga universiti awam kekal gaya hidup sihat

Kasim (kanan) dan Arifin (dia dari kanan) bersama konteinjen yang menyertai SUKUM

KOTA KINABALU: Penganjuran Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-45 mampu menjulang semangat kesatuan dalam kalangan warga staf semua universiti awam di negara ini.


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, SUKUM buka sahaja menyediakan medan untuk bertanding malahan ia boleh menjadi platform staf yang mengambil bahagian bertukar idea selain mampu meningkatkan gaya hidup sihat.


Arifin (berdiri, barisan hadapan, tengah) merakam kenangan bersama para peserta SUKUM dari pelbagai kontinjen yang bertanding


"Melalui sukan juga semangat perpaduan warga staf universiti terutamanya dalam membangunkan mutu sukan dan pendidikan peringkat universiti dapat dipupuk. 


"Saya yakin dan percaya, SUKUM mampu memartabatkan sukan seiring pendidikan di negara ini. 


"Penglibatan para pegawai dan atlet dalam kontinjen masing-masing dalam SUKUM ke-45 ini amat membantu dalam pembangunan sukan negara melalui pembangunan prasarana, fasiliti sukan dan persediaan atlet," katanya. 


Mohd Arifin berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian SUKUM Ke-45 di Stadium UMS, Sabtu malam.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor. 


Seramai 2,303 atlet daripada 20 kontinjen universiti awam seluruh negara berentap dalam SUKUM yang memasuki penganjuran edisi ke-45.


Berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula dari 8 sehingga 16 Ogos ini, sebanyak 23 acara sukan bakal dipertandingkan yang menawarkan 139 pingat emas.


Sementara itu, Kasim pada ucapannya menyatakan bidang sukan di negara ini boleh dianggap sebagai sebuah industri yang bukan sahaja mampu melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi berupaya meningkatkan ilmu. 


Menurut beliau, kajian sains sukan, penyelidikan dan pembangunan sukan ketika ini seiring dengan strategi pembinaan prasarana sukan serta penggunaan teknologi canggih dalam arena sukan tempatan. 



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama