Kolej Vokasional Keningau tampil Johan dan Naib Johan, Pertandingan Inovasi Kitar Semula


KV Keningau ungguli Pertandingan Karya Kreatif Bahan Kitar Semula


KENINGAU: Dua pasukan pelajar dari Kolej Vokasional (KV) Keningau muncul Johan dan Naib Johan dalam Pertandingan Karya Kreatif Bahan Kitar Semula pada Sabtu.

Pertandingan anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sabah itu telah berlangsung di Kadazan-Dusun Cultural Association (KDCA), Penampang. 

Pasukan Kosmetologi kolej itu berjaya membawa hadiah wang tunai berjumlah RM 3,000 sebagai Johan bagi kategori umur 19 sehingga 25 tahun manakala pasukan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari institusi yang sama menerima hadiah wang ringgit berjumlah RM 1,500 sebagai Naib Johan bagi kategori umur 15 sehingga 18 tahun. 

Pertandingan itu merupakan antara aktiviti program Amazing Youth Race yang dilaksanakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera tahun 2024.

Pasukan Kosmetologi yang menjuarai kategori 19-25 tahun itu terdiri daripada lima orang pelajar tahun akhir iaitu Jesslinda Had Keneddy, Chin Fui Yee, Venisia Maures, Avy Chascy Teo Fung She dan Frenncy Shairon. 

Mereka mencipta bangku daripada botol plastik, surat khabar lama dan pakaian terpakai yang direka khas untuk jurucantik bagi memudahkan kerja mereka menjalankan rawatan kecantikan di luar premis. 

Bangku ini membolehkan jurucantik duduk dalam keadaan yang selesa semasa melaksanakan rutin rawatan dengan mudah memandangkan bangku ini dilengkapi dengan ruang penyimpanan bagi alat alat yang diperlukan semasa terapi kecantikan. 

Pasukan Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang memenangi tempat kedua kategori 15-18 tahun terdiri daripada lima pelajar tahun tiga program itu dan mereka adalah Aby Prescila Hadily, Azzulfa Haryani Mohd Azri, Andrea Love, Putri Deelaila Abdulsa dan Winnie Christie Teunik. 

Pasukan itu mencipta permainan papan ketinting yang dibangunkan khusus untuk kanak-kanak dimana inovasi tersebut juga boleh digunakan untuk mendidik mereka berkenaan dengan deria sentuhan dan kemahiran mengenalpasti warna dan bentuk. 

Bahan utamanya merupakan kotak terbuang yang diubahsuai menjadi permainan papan ketinting yang boleh dilipat agar ianya mudah disimpan dan dibawa kemana-mana sahaja. 

Ketua pasukan pelajar Kosmetologi, Jesslinda Had Keneddy meluahkan rasa gembira dengan kemenangan tersebut memandangkan pasukan mereka telah bertungkus lumus menyiapkan bangku rawatan kecantikan mereka berdasarkan kriteria pertandingan tersebut yang hanya menggunakan bahan kitar semula. 

Pengarah kolej itu, Nordin Akup, mengucapkan tahniah kepada kedua-dua pasukan ini atas kejayaan mereka.

"Tahniah kepada kedua-dua pasukan atas kejayaan mencipta inovasi daripada bahan kitar semula.

"Ini membuktikan bahawa unsur kreativiti dan inovasi boleh diterapkan dalam mana mana konsep dan disiplin terutamanya dalam pengamalan kelestarian alam sekitar yang kian ditekan oleh semua pihak pada masa kini," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pasukan KV Keningau muncul johan dan naib johan di pertandingan Karya Kreatif Bahan Kitar Semula pada Sabtu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama