![]() |
Karunanithy (tengah) bergambar bersama pengamal media Sabah pada program itu |
KOTA KINABALU: Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk S. Karunanithy berkata hubungan kerjasama pengamal media dengan SPRM amat penting kerana pengamal media apabila menyalurkan berita-berita berkaitan dengan pendedahan kes rasuah, dengan itu ia dapat membantu SPRM menjalankan siasatan lanjut.
Menurutnya, apabila media menyiarkan berita-berita mengenai amalan rasuah, secara tidak langsung memberikan peluang kepada SPRM akan menjalankan siasatan.
"Kita ada banyak kes-kes yang didedahkan oleh media dan berakhir dengan kejayaan. Itu sebab kita menganggap para media merupakan rakan strategik yang penting untuk SPRM dalam mendedahkan sebarang salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.
"Bukan itu sahaja, media juga memainkan peranan untuk menyebarluaskan mesej-mesej pencegahan rasuah dan dasar-dasar kerajaan berkenaan isu-isu pencegahan rasuah," katanya ketika ditemui pemberita semasa Program Bual Bicara & Boling SPRM Bersama Media Sabah di sini, pada Rabu.
Sehubungan dengan itu, Karunanithy turut menjelaskan bahawa pendedahan media terhadap sebarang kes berkaitan rasuah hanya dijadikan sebagai panduan untuk SPRM menjalankan siasatan lanjut.
"Pendedahan media bukan sebagai bukti tetapi ia akan dijadikan guide (panduan) untuk kita menjurus kepada siasatan, ia tidak boleh, apa-apa pendedahan yang dibuat oleh media, tidak akan dijadikan sebagai bukti tapi ia akan menjadi panduan untuk kita memulakan sesuatu siasatan," katanya.
Beliau turut memaklumkan keyakinan awam terhadap SPRM mengendalikan kes jenayah rasuah masa kini semakin meningkat.
"Pada pendapat saya persepsi orang awam terhadap SRPM semakin lama semakin meningkat, kita melihat terdapat banyak kes-kes dan kejayaan hasil wang yang telah dibawa pulang kepada negara dan kita juga berjaya mengelakkan berlakunya ketirisan, semua itu menyebabkan masyarakat pandang tinggi kepada SPRM," tambahnya.
"Untuk pengetahuan, penempatan pegawai-pegawai SPRM di kementerian dan jabatan kerajaan di negeri ini, tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk memantau sebarang aktiviti rasuah di di situ adalah berkesan.
"Pada pendapat saya, inisiatif menempatkan certified integrity officer (pegawai integriti bertauliah) ini memang berkesan sebab banyak maklumat-maklumat yang disalurkan pegawai-pegawai integriti yang ditempatkan contohnya baru-baru ini Op Fly 'Pasport Terbang' yang kita jalankan di Sabah ini, itu adalah kolaborasi daripada pegawai integriti yang ditempatkan di Jabatan Imigresen," katanya.
Sementara itu, seramai lebih 30 pengamal media hadir pada program bersama SPRM pada Rabu yang turut dihadiri Presiden Persatuan Wartawan Sabah, Datuk Muguntan Vanar.