Skuad wushu hadiahkan tiga emas dan satu perak dari SUKMA Sarawak


Chin (tengah) menyambut ketibaan Skuad Wushu Sabah di KKIA

KOTA KINABALU: Skuad wushu negeri nyata mempamerkan aksi cemerlang selepas kejayaan menghadiahkan tiga pingat emas dan satu pingat perak bagi Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-21 yang sedang berlangsung di Sarawak.

Amirah Sofea Azlan (48 kilogram Wanita) dan Dione Bayline Fely (52 kilogram Wanita) menghadiahkan emas dengan kejuaraan dalam kategori masing-masing, termasuk Fyenlly Himon (52 kilogram Lelaki).

Pingat perak pula disumbangkan oleh atlet dari acara Gushu Lelaki dalam kategori Taolu oleh Ericsson Bong Cheng Loong.

Skuad wushu Sabah mengumpul satu pingat emas lebih untuk SUKMA edisi kali ini berbanding edisi ke-20, dua tahun lalu, di mana kutipan pingat mereka adalah dua pingat bagi emas dan perak, serta satu gangsa.

Presiden Wushu Negeri Sabah, Datuk Chin Kim Hiung hadir menyambut kepulangan skuadnya daripada Sarawak, pada hujung minggu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Beliau menzahirkan kebanggaannya terhadap pencapaian cemerlang yang dipamerkan oleh skuad itu di SUKMA edisi ini dan mengucapkan tahniah kepada semua atlet, pegawai dan jurulatih di atas kerja keras mereka sebelum ini.

"Kepada semua yang bekerja keras, baik atlet, pihak pengurus, jurulatih, mahupun semua dari pihak lawan yang lain yang turut sama bertanding untuk edisi kali ini, anda semua sudah memberikan aksi dan usaha yang terbaik, jangan putus asa dan teruskan dengan dedikasi serta komitmen dalam latihan, bagi edisi SUKMA pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Chin yang juga merupakan Timbalan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi sokongan padu dan membantu dalam usaha dan perkembangan sukan Wushu di Sabah.

Skuad Wushu Sabah diwakili oleh 13 atlet dalam SUKMA Sarawak kali ini.

Skuad tersebut diteraju oleh ketua Lee Hon Yu, jurulatih Ronald James Tee Chee Xiang, Alexander Fong (Sanda) dan Liu Zhen Ling, Lee Tsun Kee, Anson Chin Hong Rui (Taolu).

SUKMA Sarawak kali ini berlangsung bermula 17 Ogos dan bakal menutup tirainya pada 24 Ogos ini.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama