![]() |
Masiung (kiri) memukul gong simbolik perasmian |
TONGOD: Pembentukan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menerajui Kerajaan Negeri bukan sahaja digeruni lawan namun dasar baharu yang diperkenalkan kepada rakyat turut dicemburui pembangkang.
Naib Presidennya, Datuk Masiung Banah, menyifatkan pemimpin parti pembangkang di Sabah yang menemui jalan buntu mencari titik persamaan terpaksa menggunakan taktik kotor demi mencari kuasa yang hilang.
"Kegagalan pemimpin sebelah sana (pembangkang) mencari helah dan kelemahan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadikan beberapa pengikutnya terpaksa mencipta taktik kotor dan tidak beretika, ini cerminan budaya parti mereka," katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Penangah, yang dihadiri lebih 500 penyokong parti itu di Dewan Terbuka Penangah, pada Isnin.
Menurut Masiung lagi, helah-helah yang direka dan digubah itu antaranya adalah dengan taktik penyebaran fitnah.
"Apa yang kita nampak sekarang mereka terpaksa mencipta cerita kotor termasuk menyebarkan video untuk memfitnah pemimpin yang menyukarkan modus operandi mereka.
"Pemimpin dan penyokong pembangkang yang pengacut ini terpaksa menabur fitnah kerana takut berhadapan dengan politik secara sihat menjelang Pilihanraya Umum Negeri (PRN) akan datang.
"Jika mereka mempunyi bukti kukuh, mereka boleh menggunakan pihak berkuasa untuk mendakwa saya ke Mahkamah, " jelasnya
Minggu lalu, polis menerima empat aduan berhubung penyebaran video berunsur fitnah yang mengaitkan nama Masiung dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Wakil Rakyat Kuamut itu, mencabar pihak yang menabur fitnah berkenaan supaya berdepan dengan beliau dalam perdebatan berhubung projek Kilang Klinker dan Simen di Tongod dan isu Rumah Pangsa Tanjung Aru di Kota Kinabalu.
"Saya tidak akan berundur dengan karenah fitnah kerana saya diangkat oleh rakyat untuk memimpin Kuamut.
"Tidak salah bagi mereka bercita-cita mahu kembali berkuasa tapi biarlah berpolitik secara sihat," katanya lagi.
Menurutnya, rakyat di luar sana tidak perlu dibohongi dengan fitnah kerana ramai kalangan rakyat lebih matang dan berpendidikan tinggi berbanding pemimpin yang suka penyebar fitnah.
"Tidak perlu menutup mata dan menjadi racun kepada rakyat dengan semua fitnah yang jelas-jelas menampakkan diri sendiri buruk.
"Rakyat kita ramai yang celik minda dan akal, dapat berfikir dan menilai," ujar beliau
lagi.