![]() |
Hajiji (tengah) merasmikan Pusat Kecemerlangan Utama Kesihatan Eropah di Alamesra |
KOTA KINABALU: Sabah mengorak satu langkah dalam sektor pelancongan kesihatan dengan pembukaan Pusat Kecemerlangan Utama Kesihatan Eropah di Alamesra khasnya sebagai medium penyelidik untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman mereka di fasiliti itu, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, pusat itu mampu memainkan peranan penting dalam sektor yang dilihat mampu menawarkan pulangan lumayan dan menyumbang kepada perkembangan dan kecanggihan khususnya bagi bidang penjagaan kesihatan.
"Saya dimaklumkan bahawa fasiliti kesihatan ini menawarkan khidmat penjagaan kesihatan konvensional, dengan menggabungkan teknologi sains perubatan yang terkini dan 'kuasa penyembuhan' dari landskap alam semulajadi Sabah yang kaya dengan keindahannya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Majlis Pembukaan Pusat Kecemerlangan Utama Kesihatan Eropah pada Khamis.
![]() |
Hajiji (tiga dari kanan) mendengar penerangan daripada Mike |
Pusat itu dikendalikan oleh saintis sel stem, Profesor Datuk Seri Dr. Mike Chan bersama isterinya yang juga merupakan anak jati Sabah, serta pengasas bersama, Profesor Datuk Seri Dr. Michelle Wong.
Selain itu, Hajiji turut memuji usaha dan langkah yang diambil oleh kedua-dua pengasas kerana komited dan berpotensi membawa penjanaan perniagaan, sekaligus membawa nama Sabah ke persada dunia, sebagai sebuah hab-pelancongan kesihatan bertaraf dunia.
"Kita di sini pastinya amat bangga dengan pelaburan dan usaha ini, untuk negeri Sabah dan orang Sabah.
"Visi dan usaha anda pastinya akan membawa satu perubahan dan menyumbang kejayaan," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa kedudukan Sabah sebagai lokasi strategik di Asia Tenggara dan menjadi penghubung antara Brunei Indonesia Malaysia Philipines (Filipina) East Asean Growth Area (BIMP-EAGA) dan serantau pelusuk Asia.
"Melalui usahasama serantau seumpama ini, pastinya ruang dan peluang untuk integrasi ekonomi dapat dikekalkan di tahap yang cemerlang.
"Saya membayangkan, Sabah berkembang sebagai sebuah jaringan serantau untuk prospek pelaburan, termasuk pelancongan perubatan dan kesihatan," katanya lagi.
Tambah Hajiji lagi, dengan adanya pusat kesihatan itu juga, sekaligus ia memberi gambaran dan mampu menyakinkan pelabur luar yang berpotensi untuk datang ke Sabah kerana yakin potensi serta imej Sabah sebagai sebuah negeri yang stabil, baik dan tempat kondusif untuk mereka membuat pelaburan.
"Ini memberi satu makna yang signifikan dan selari dengan hala tuju serta komitmen Sabah untuk membangunkan sebuah negeri maju, seiring dengan hala tuju Sabah Maju Jaya.
"Dalam era semasa secara global, elemen kesejahteraan dan kesihatan menjadi penting, dan Sabah turut meletakkan hal ini sebagai usaha dalam merevolusikan negeri.
"Ini adalah sebuah komitmen penting dan bukti bahawa hal yang kita fokuskan adalah bukan sekadar mengekalkan kualiti hidup, tetapi lebih daripada itu, kita ingin mengembangkan lagi kualiti kepada usaha tersebut," tambahnya lagi.
Hajiji turut menyatakan bahawa pelaburan masuk ke Sabah akan turut memberi impak kepada wujudnya peluang pekerjaan baharu dan menarik golongan mahir serta profesional, untuk datang ke Sabah dan menyumbang kepada ekonomi negeri.
"Kini masanya kita di Sabah, dengan adanya anak jati kita sebagai saintis sel stem, pasti usaha penyelidikan dan kajian kesihatan berkaitan akan mampu mencapai kepada standard komuniti global.
"Anak Sabah berusaha keras dalam membawa dan membuktikan kejayaan yang mampu kita hasilkan dalam bidang ini (sel stem), sekaligus membawa nama Sabah sebagai sebuah pusat atau destinasi kesihatan dan inovasi," ujar beliau lagi.
Hadir sama ialah Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
![]() |
Hadir sama, Masidi (tengah) |