Ingin buka ladang nanas, jadi usahawan berjaya di Tambunan

Jelyscka bersama kakaknya Jesiendra jango, 35, dan ibunya Isan Adon, 58

Jelyscka Jango, anak keenam dari sepuluh orang adik beradik ditemani ibu dan kakaknya untuk turut sama meraikan detik indahnya berjaya menamatkan pengajian.

Cemerlang dengan meraih dua Anugerah Sijil Pelatih Cemerlang, iaitu Pelatih Terbaik Keseluruhan dan Pelatih Terbaik Akademik dalam Program Sijil Keusahawanan Pertanian Bersepadu Sesi 2023/2024, Jelyscka menzahirkan impian dan hasrat yang ingin direalisasikannya.

"Saya ingin membuka ladang nenas di kampung halaman di Tambunan sekali gus ingin menjadi usahawan yang berjaya.

"Saya tidak sangka saya dinobatkan dua anugerah cemerlang ini, saya berterima kasih kepada ibu saya yang selalu mendorong dan memberi sokongan kepada saya dalam bidang pertanian ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah itu.

Jelyscka yang berumur 33 tahun ini juga pernah bekerja di sebuah syarikat institusi kewangan berpusat di Kuala Lumpur selama enam tahun bertekad berhenti bekerja dan kembali ke Sabah kerana ingin menceburi dalam bidang pertanian.

"Saya dilahirkan dari keluarga petani, jadi saya rasa sudah tiba masanya saya teruskan tradisi ini tapi dalam cara yang lebih efisien iaitu mengikuti kursus pertanian.

"Sejak kembali ke Sabah pada tahun 2021 saya cuba menanam lada putih, ia berhasil tapi tidak produktif jadi saya ternampak iklan di Facebook pengambilan Kursus Pertanian anjuran Jabatan Pertanian Sabah, saya terus memohon dan diterima sebagai pelatih," kongsinya.

Beliau yang mengambil kursus Projek Inkubator Pembiakan Tanaman, Landskap dan Fertigasi dalam program itu berkata banyak input yang boleh diaplikasikan dalam bidang pertanian sepanjang sepuluh bulan belajar di pusat itu.

"Pengalaman belajar yang paling berharga, banyak input yang boleh saya aplikasikan di luar nanti dan saya berharap saya akan menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang pertanian khususnya penanaman nenas di Tambunan," katanya.

Anugerah Sijil Pelatih Cemerlang itu disampaikan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) I, Hendrus Anding sempena Majlis Konvokesyen ke-28 Pusat Latihan Pertanian Bersepadu, Putatan di Dewan Serbaguna MAFFI, Wisma Pertanian Sabah di sini, pagi Khamis.

Seramai 31 pelatih berjaya menerima Program Sijil Keusahawanan Pertanian Bersepadu Sesi 2023/2024, semasa majlis konvokesyen itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama