![]() |
Pemuda meninggal dunia, dua lagi cedera parah selepas Proton Saga BLM dinaiki mereka kemalangan |
LAHAD DATU: Sebuah kemalangan melibatkan kenderaan Proton Saga BLM meragut nyawa seorang pemuda manakala dua lagi cedera parah di Jalan Lahad Datu- Tawau, berdekatan Dewata.
Komander Operasi, PBK II Mohammad Suait Mohammad memberitahu bahawa pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11 malam, pada Khamis.
"Selepas menerima panggilan berkenaan kejadian itu, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya di lokasi, anggota kami dapati ada tiga orang mangsa terlibat dalam kemalangan kereta jenis Proton Saga BLM dan mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
Menurut beliau seorang mangsa meninggal dunia dilokasi disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenalpasti sebagai pemuda bernama Rey Davila, 54 tahun manakala dua lagi mangsa yang cedera parah ialah Reymar Davila, 20 dan Rendell Ray Davila, 27.
"Mangsa yang meninggal kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya lagi.
Tambah beliau lagi, kedua-dua mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Lahad Datu dan operasi menyelamat selesai pada pukul 11.20 malam.