Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia: Ketua Menteri Sabah

Hajiji menegaskan Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia dan kekal berusaha ke arah mengeratkan hubungan

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Sabah sentiasa akan kekal menjadi bahagian dan sudah menjadi sebahagian daripada negara Malaysia.

"Saya tegaskan, Sabah adalah bahagian dan sebahagian daripada negara Malaysia.

"Walau apa pun keadaannya, dan apa saja yang terjadi, Sabah tetap sebahagian daripada bumi Malaysia dan ini adakah hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun," tegasnya dalam sebuah hantaran di media sosial Facebooknya pada Ahad petang.

Menurut Hajiji, sebagai pemimpin yang meneraju kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah, beliau sentiasa berhasrat untuk meneruskan kemakmuran dan kesejahteraan negeri Sabah, seiring dengan kemakmuran negara.

"Kerjasama padu antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat adalah sebuah kerjasama yang dijalinkan demi untuk memastikan kemakmuran tanahair tercinta dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

"Saya mewakili kerajaan dan rakyat Sabah menghargai komitmen tinggi dan penegasan yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertahankan setiap inci kedaulatan Sabah sebagai wilayah dalam Persekutuan Malaysia," katanya lagi.

Hajiji turut menzahirkan rasa syukur dan berhasrat untuk terus mengekalkan perpaduan erat semasa pemimpin dan rakyat, sekaligus menghasilkan idea dan resolusi membina bagi tujuan kebaikan dan kejayaan bersama.

"Semoga pertemuan dalam Himpunan Perdana Rakyat menambah eratkan semangat perpaduan dan sesuai dengan perjuangan kita di Sabah untuk menuju Malaysia Madani dan Sabah Maju Jaya," ujarnya lagi.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama