
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus bergerak pantas mendokong dasar pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang selari dengan semangat gagasan Malaysia Madani.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri dengan penuh keyakinan terus mara ke hadapan melaksanakan hala tuju negeri dengan penekanan kepada beberapa sektor penting yang terdapat dalam Hala Tuju SMJ khususnya sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan.
“Alhamdulillah.....Ketiga-tiga sektor ini telah melonjakkan ekonomi negeri sehingga menarik pelabur ke Sabah sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
"Selain itu, kita turut memberi tumpuan untuk membangunan modal insan dan memperkasa kesejahteraan rakyat.
“Dengan sokongan jemaah kabinet negeri, segala perancangan dan dasar-dasar dapat dilaksana sesuai dasar hala tuju SMJ yang menjadi asas kepada corak kemajuan dan pembangunan negeri Sabah”, katanya pada Majlis Himpunan Perdana Keadilan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad.
Majlis disempurnakan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Hajiji menyatakan Sabah menjadi tumpuan sebilangan pelabur dengan membawa nilai pelaburan mencecah RM12 bilion sejak 2 tahun lalu.
"Hasil berkat corak kepimpinan negara yang dinamik serta mesra pelabur sehingga Sabah secara langsung turut menikmati tempiasnya.
"Beribu-ribu peluang pekerjaan dapat ditawarkan kepada anak-anak Sabah hasil kemasukan pelabur domestik dan asing sehingga Taman Perindustrian
Kota Kinabalu (KKIP) dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
"Keadaan ini sekali gus memerlukan kerajaan negeri mencari dan mengenal pasti taman perindustrian yang baharu bagi memenuhi keperluan dan kepesatan sektor perindustrian di negeri ini.
“Nilai pelaburan ini dijangka akan meningkat lagi pada tahun-tahun mendatang kerana banyak lagi pelabur tempatan dan asing yang menunjukkan minat untuk datang melabur ke Sabah," katanya.