![]() |
Hajiji merasmikan Road 2 Growth |
KOTA KINABALU: Sabah bersedia untuk tampil sebagai hab kemajuan teknologi menerusi galakan inovasi yang dipupuk secara aktif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, integrasi teknologi dan inovasi amat penting dalam pembangunan ekonomi seiring kepesatan dunia ketika ini.
"Kerajaan berhasrat mencipta ekosistem yang menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menggalakkan transformasi digital, dan memupuk budaya inovasi di negeri Sabah.
“Komitmen kerajaan negeri terhadap pertumbuhan ekonomi tidak berbelah bahagi dan turut melaksanakan dasar pintu terbuka kepada pelabur selain meneroka sumber-sumber ekonomi baharu termasuk Ekonomi Biru yang bakal membawa dimensi baharu ekonomi Sabah, berpaksi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Fokus kita masa ini ialah mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perkembangan perniagaan.
"Kita mahu menarik pelaburan dalam dan luar negeri selain mahu memastikan tenaga kerja kita dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan masa depan”, katanya.
Hajiji berkata demikian pada Majlis Perasmian MTDC Road to Growth (R2G) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Mohammad Yusof Apdal, Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Hashim Paijan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Mohammad Hazani Hassan.
Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) telah dikenalpasti menjadi salah satu pemangkin penting yang memacu pembangunan sosioekonomi.
Menurut beliau, Pelan Strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasa ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di Sabah.
"Selain itu, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) akan meneruskan pelbagai program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap termasuk memacu industri animasi negeri sebagai Pusat Latihan Berlesen Toon Boom pertama di Malaysia.
“SCENIC telah dinobatkan Anugerah Khas ”The Most Impactful Public Agency in Driving Digital Adoption” di Top Tech Innovation Award 2022 yang disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
“Oleh itu, saya berharap program “Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Road to Growth (R2G) 2024-Sabah dapat membantu melahirkan lebih ramai penyelidik dan usahawan yang berinovasi," ujar beliau lagi.