Hidup mati Sabah tetap bersama Malaysia: Hajiji

 

Hajiji ketika ditemui pemberita

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menegaskan pendirian untuk tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan ke atas Sabah melibatkan individu atau kumpulan tertentu. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kemerdekaan Sabah yang berusia 61 kini adalah kemerdekaan yang menunjukkan bahawa Sabah bersama Malaysia dan negeri-negeri lain, sebagai sebuah negara berdaulat.

"Ada isu kita yang selama ini belum lagi selesai dan di pihak sebelah masih menuntut. 

"Setegas-tegasnya kita ingin nyatakan lagi bahawa Sabah sama sekali tidak mengiktiraf kumpulan atau sebarang tuntutan yang dibuat ke atas negeri ini.

"Jadi apa lagi ceritanya? Hidup mati kita dalam negara kita, Malaysia ini," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini, pada Selasa. 


Hajiji menyampaikan sijil biasiswa kepada penerima

Terdahulu, Hajiji dalam kenyataannya kelmarin (Isnin), memaklumkan bahawa beliau menyokong penuh pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kedaulatan negara dan menolak sebarang tuntutan ke atas Sabah. 

Hajiji menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah menjelaskan pendirian Malaysia tentang perkara itu adalah sama dan rakyat Sabah sudah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Dalam majlis itu, Hajiji turut menyampaikan Anugerah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada lapan penerima dan biasiswa tajaan Kerajaan Sabah kepada 80 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Negeri Sabah (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Penganugerahan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) adalah satu pengiktirafan berprestij kerajaan negeri terhadap kecemerlangan yang telah dicapai oleh pelajar di negeri Sabah. 

Kumpulan Yayasan Sabah telah diamanahkan untuk menyediakan biasiswa cemerlang ini sejak tahun 1990.

Sehingga kini, seramai 755 pelajar telah menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM132.6 juta telah dibelanjakan sejak program ini dilaksanakan.

Secara keseluruhannya, sejak tahun 1967 hingga 2023, Kumpulan Yayasan Sabah 
membelanjakan RM704.5 juta dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang mana telah memberi manfaat kepada 44,075 pelajar Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama