Kerajaan Negeri tegaskan tuntutan 40 peratus hasil Sabah: Hajiji

 

Hajiji ketika ditemui pemberita

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan hasrat Kerajaan Negeri untuk tidak berganjak daripada pendirian untuk meneruskan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

"Jangan bimbang, ini adalah perkara yang sudah tertulis dalam Perlembagaan dan pihak Kerajaan Negeri sentiasa membincangkan hal ini dengan serius bersama Kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri ke-35 di sini pada Selasa.

Menurut Hajiji, peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM16 billion sudah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Pesta Kaamatan tiga bulan lalu dan diulangi semula semasa Himpunan Perdana Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Ahad (4 Ogos) baru-baru ini.

"Itu bukan sebahagian daripada tuntutan 40 peratus hasil yang ditegaskan oleh Kerajaan Negeri.

"Nilai RM16 billion itu adalah jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk Sabah tahun ini, dan itu tidak ada kena mengena langsung dengan tuntutan 40 peratus hasil yang kita nyatakan," jelas Hajiji lagi.

Terdahulu, Hajiji memberitahu bahawa kerajaan tidak akan berundur daripada menuntut hak dan keistimewaan negeri khasnya yang berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti mana yang diperuntukkan dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Isu penting itu dinyatakan kini sedang dalam bidang kuasa dan termaktub bersama jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhillah Yusof.

"Kita akan terus mempertahankan hak-hak serta keistimewaan Sabah dan yang berkaitan bagi memastikan apa yang sewajarnya ini dihormati oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Menurut rekod, Julai tahun lalu, Fadhillah menyatakan bahawa formula untuk tuntukan hasil Sabah atau geran istimewa dijangka akan dicapai dalam tempoh masa setahun.

Rundingan belum lengkap telah menunjukkan peningkatan nilai daripada RM125.6 juta bagi tahun 2022 bertambah kepada RM300 juta pada Julai 2023.

Rundingan termasuk tuntutan tertunggak sejak 50 tahun lalu.

Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif perkiraan 40 peratus tuntutan hasil pada 29 Mei lalu, untuk mengimbangi kelewatan maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama