Projek naik taraf jalan di Ranau, hubungkan tiga kampung: Masidi

Masidi menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan enam kilometer yang menghubungkan tiga kampung

RANAU: Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, melancarkan projek naik taraf jalan sepanjang enam kilometer yang menghubungkan tiga kampung iaitu Kampung Mohimboyon, Kampung Lipantai dan Kampung Pahu, disini, pada Sabtu.

Projek itu adalah projek menaiktaraf jalan kerikil sedia ada kepada jalan berturap yang menghubungkan tiga kampung berkenaan.

"Sebelum ini, jalan tersebut merupakan suatu cabaran bagi penduduk tempatan yang melalui jalan itu terutama semasa musim hujan apabila ia menjadi sangat licin dan berbahaya," katanya.

Masidi juga memberitahu bahawa projek yang bermula pada 25 Mac 2024 itu juga adalah projek menyeluruh melibatkan kerja-kerja tanah, pembinaan jambatan baru serta pembangunan sistem perparitan dan perlindungan cerun.

Selain itu, katanya, projek itu juga merangkumi pemasangan ciri-ciri keselamatan jalan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan semua pengguna dan dijadualkan siap pada 24 Mac 2027.

“Projek ini adalah sangat penting untuk komuniti tempatan. Penaiktarafan ini bukan sekadar penambahbaikan infrastruktur tetapi merupakan langkah penting ke arah meningkatkan kualiti hidup penduduk Ranau.

“Jalan baru ini bukan sahaja akan menyediakan perjalanan yang lebih selamat untuk penduduk, tetapi juga akan memudahkan akses yang lebih cepat ke pasar, sekolah, dan perkhidmatan penting sekali gus meningkatkan peluang ekonomi bagi komuniti luar bandar,” kata Masidi sambil menambah jalan yang dinaiktaraf ini juga akan menjadi laluan alternatif ke bandar Ranau, terutama semasa kesesakan jalan. 

Tambah Masidi lagi, usaha naiktaraf itu juga antara lainnya adalah bertujuan untuk mengurangkan masalah kesesakan aliran trafik, khasnya di kawasan bandar.

"Ia mampu mengurangkan kesesakan dan memastikan aliran trafik yang lebih lancar di sekitar sekolah dan kawasan bandar," ujarnya.

Hadir sama semasa majlis itu ialah pegawai kerajaan, pemimpin tempatan, dan ahli komuniti yang menyatakan sokongan kuat mereka terhadap projek ini dan manfaat yang dijanjikan untuk Ranau.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama