![]() |
Masidi (tiga dari kiri) menyampaikan replika kunci kepada penerima Rumah Mesra SMJ di DUN Karanaan |
RANAU: Seramai 23 ketua isi rumah (KIR) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan menerima kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam satu majlis di Kampung Pahu, sini, pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata sebanyak 35 buah Rumah Mesra SMJ telah siap dibina bagi DUN Karanaan.
"Hari ini hanya 23 KIR sempat menghadiri majlis penyerahan kunci dan secara simbolik mewakili baki 12 KIR yang tidak dapat hadir pada majlis itu.
"Ini adalah usaha Kerajaan Negeri dan usaha ini akan tetap menjadi sebuah usaha yang dijalankan dengan komited dan dedikasi kerana Rumah Mesra SMJ adalah diperlukan oleh rakyat kita.
"Semenangnya Rumah Mesra SMJ wajar diberikan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan sebanyak 20 unit setahun bermula dari tahun 2022," katanya.
Menurut Masidi, kesemua 23 kunci rumah SMJ yang diserahkan kepada penerima adalah rumah yang bernilai RM80,000 setiap unit.
"Inilah, hari ini merupakan bukti kukuh keprihatinan kerajaan negeri terhadap rakyat, terutamanya kepada mangsa-mangsa bencana dan warga rentan.
“Saya berharap kesemua 60 unit Rumah SMJ yang telah diluluskan sehingga tahun 2024 dapat disiapkan mengikut jadual supaya rumah-rumah ini dapat diserahkan kepadap penerima seberapa cepat yang boleh," tambah Masidi lagi.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah melancarkan program Rumah Mesra SMJ pada 28 September 2022 sebagai inisiatif mengeluarkan rakyat dari kemiskinan dan menyediakan perumahan mampu milik bagi golongan B40.
"Rumah Mesra SMJ ini mengguna pakai konsep Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu golongan yang berada di bawah garis kemiskinan di Sabah memiliki rumah secara percuma," katanya lagi.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Masidi turut menyempurnakan Majlis perasmian Program Inisiatif Masyarakat Tanpa Tunai Ranau anjuran Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam).
Inisiatif itu mampu memperkukuhkan usaha membudayakan penggunaan pembayaran elektronik (e-pembayaran) dalam kalangan masyarakat luar bandar, terutamanya usahawan mikro, kecil dan sederhana, di Ranau.
"Program ini bertujuan untuk menggalakkan para peniaga menggunakan kaedah e-pembayaran melalui DuitNow QR dan aplikasi perbankan mudah alih BIMB Biz by Bank Islam (BIMB Biz) bagi urusan perniagaan harian mereka," katanya.
Masidi juga memberitahu bahawa usaha itu adalah sebagai alternatif kepada penggunaan wang tunai.
"E-pembayaran dapat membantu orang ramai menjimatkan masa dan tenaga untuk membuat urusan kewangan tanpa perlu mengeluarkan wang tunai di mesin ATM atau cawangan bank kerana transaksi boleh dijalankan di tapak tangan dan hujung jari sahaja.
"Untuk peniaga pula, e-pembayaran boleh menjadikan perniagaan lebih berdaya saing kerana transaksi dapat direkodkan secara langsung.
"Ini kemudiannya akan memudahkan pengurusan dan rekod akaun serta permohonan pinjaman pada masa akan datang," ujarnya lagi.