PRN17 Sabah: Gagasan Rakyat Bahagian Likas fokus perkukuh jentera parti

Merakam kenangan bersama selepas selesai sesi mesyuarat, Mohammad Bahrin (barisan depan, tujuh dari kiri) dan Fat (tengah, barisan depan)


KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas fokus pada usaha memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.


Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata, semua ahli Gagasan Rakyat Bahagian Likas perlu fokus dan berusaha keras untuk memperkukuhkan jentera parti selain meningkatkan bilangan ahli di setiap cawangan masing-masing. 


"Kita perlu memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal menjadi tampuk pimpinan di negeri Sabah.


"Seperti yang sering dinyatakan Presiden Parti, 'rumah kitu kita jaga'. 


"Yakinlah menerusi Gagasan Rakyat, parti ini akan menjadi wadah perjuangan kita berdasarkan nilai geo-politik yang selaras dengan keinginan dan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan perubahan dalam pelbagai aspek politik termasuklah ketelusan, integriti mahupun kepedulian terhadap nasib rakyat," katanya. 


Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Likas Tahun 2024, di sini, petang Sabtu.


Turut hadir semasa mesyuarat berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tan Lee Fatt. 


Sementara itu, bercakap mengenai mesyuarat yang dilaksanakan, Mohammad Bahrin berkata, persidangan kali kedua itu membuktikan Gagasan Rakyat semakin menjadi pilihan rakyat Sabah untuk menyertai politik tempatan. 


Menurut beliau, ia turut memperlihatkan penerimaan masyarakat Sabah yang mempunyai pelbagai kaum dan agama dengan membawa suara rakyat Sabah.


"Terima kasih kepada semua sayap pergerakan wanita, pemuda dan beliawanis Gagasan Rakyat Bahagian Likas kerana telah berjaya menjalankan mesyuarat tahunan. 


"Mesyuarat ini adalah penting kerana Gagasan Rakyat Likas sentiasa mempersiapkan diri untuk membantu sama ada ketika PRN mahupun PRU yang akan datang," katanya. 


Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ahli parti khasnya di bahagian Likas untuk berpegang teguh kepada prinsip perjuangan Gagasan Rakyat dan hala tuju Presiden Parti merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.


"Ingatlah bahawa prinsip perjuangan Gagasan Rakyat adalah telus, berintegriti dan fokus dalam usaha membawa suara rakyat Sabah, seiring dengan apa yang sering dipesan dan disarankan oleh Ketua Menteri kita yang juga merupakan Presiden Gagasan Rakyat.


"Sesungguhnya perjuangan dan kepimpinan DSP Hajiji adalah sesuatu yang menjadi contoh dan inilah yang kita perjuangkan dalam usaha jentera kita, lebih-lebih lagi untuk menuju PRN yang bakal tiba, dalam sikit masa lagi," katanya lagi.


Turut berlangsung sebelum itu ialah Mesyuarat Tahunan bagi sayap Wanita, Pemuda dan Beliawanis Bahagian Likas.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama