![]() |
Hajiji (kanan) beramah mesra bersama atlet di sini, pada Sabtu |
KUCHING: Kerajaan Sabah mengumumkan kenaikan insentif sebanyak RM10,000 bagi pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak.
Jumlah berkenaan adalah pertambahan RM5,000 daripada nilai insentif sebelum ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, bagi pemenang pingat perak dan gangsa pula, kerajaan negeri akan menunggu cadangan daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan Negeri sejurus SUKMA Sarawak selesai.
"Kita berharap kontinjen Sabah akan berjaya mencapai sasaran sebanyak 40 pingat emas pada SUKMA XXI Sarawak.
“Saya mahu atlit Sabah bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi dan menjaga disiplin diri demi nama baik negeri Sabah”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Skuad Wushu Sabah yang berjaya menyumbang sebanyak tiga pingat emas dan satu perak pada SUKMA Sarawak XXI di Hotel Pullman, pada Sabtu.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin, Pembantu
Menteri Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada skuad wushu yang berjaya menyumbang pingat emas dan perak pertama untuk Sabah.
Tiga emas yang dimenangi oleh Skuad Wushu ialah menerusi Amirah Sofea Azlan dalam acara sanda Wushu 45-48kg wanita, Dione Babyline Fely (sanda kategori 48-52kg wanita) dan Fyenlly Himon (sanda 48-52kg lelaki).
Pingat perak dimenangi oleh Ericson Bong Cheng Loong (toulu gunshu lelaki).