Persatuan Wanita terima RM1.5 juta untuk program pembangunan: Hajiji


Shahelmey (tiga dari kanan) hadir mewakili Hajiji semasa Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah 2024


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan wanita serta badan bukan kerajaan (NGO) wanita di Sabah, bagi tujuan program pembangunan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan berkenaan adalah bertujuan bagi pelaksanaan lebih banyak program mahupun aktiviti yang memberikan manfaat kepada pembangunan golongan wanita di negeri terbabit.

"Ini juga sebagai tanda sokongan kerajaan dalam menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya.

“Oleh itu, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta kepada persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) wanita di negeri ini yang akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).

“Saya berharap peruntukan berkenaan dapat membantu persatuan wanita dalam melaksanakan program atau aktiviti yang memberi manfaat kepada wanita di seluruh Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sabah, Jumaat malam.

Teks ucapan beliau itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk lr Shahelmey Yahya.

Menurut Hajiji, peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang nyata membantu usaha negeri mencapai kemajuan dan pembangunan negara.

"Kita sememangnya memperakui betapa pentingnya peranan dan sumbangan kaum wanita dalam apa jua bidang ke arah kemajuan dan pembangunan negara.

“Ini termasuklah dalam pembangunan institusi kekeluargaan, pendidikan, ekonomi dan pentadbiran serta arena politik," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6.36 juta kepada JHEWA dan RM700,000.00 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) pada tahun ini bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan wanita.

Menurut beliau, pihaknya mahu MPWS sebagai badan pemikir dan penasihat berhubung hal ehwal wanita, akan lebih agresif dan proaktif dalam menyumbangkan buah fikiran dan idea baharu, ke arah memperkasakan lagi penyertaan dan pembangunan kaum wanita di Sabah.

“Sementara itu, JHEWA sebagai agensi kerajaan negeri yang memikul tanggungjawab dalam menangani hal ehwal wanita, diharapkan terus melaksanakan program pembangunan wanita secara efektif dan efisien menepati sasaran dan perancangan,” ujarnya lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama