MTS lulus projek pembangunan 700 megawatt, pulih Sistem Grid Sabah

Hajiji (tengah) semasa mempengerusikan mesyuarat


KOTA KINABALU: Beberapa projek kritikal bagi pembangunan penjanaan kapasiti 700 megawatt bagi pemulihan Sistem Grid negeri ini diluluskan dalam mesyuarat kedua Majlis Tenaga Sabah (MTS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek utama seperti Projek Hidro Elektrik dan Loji Janakuasa Gas Asli adalah bertujuan untuk memastikan bekalan elektrik mencukupi di Sabah, untuk tempoh masa terkini dan akan datang.

"Mesyuarat MTS mendengar maklumbalas daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) tentang perkembangan projek-projek penjanaan penting lain yang sudah diambil tindakan susulan keputusan, pada mesyuarat MTS pertama yang berlangsung pada Jun lalu.

“Ini termasuk keputusan perlaksanaan projek-projek sumber tenaga masa hadapan iaitu potensi dan kaedah pembangunan hidro elektrik secara meluas di Sabah.

"Hal ini adalah menerusi kajian Sabah Hydro Development Masterplan yang sedang dilaksanakan oleh ECoS, dan kaedah pembangunan loji Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) melalui konsep Projek Perintis Permulaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dan mempengerusikan Mesyuarat Kedua MTS di Menara Kinabalu di sini pada Khamis.

Menurut Hajiji, usaha yang dilaksanakan itu dihadap mampu menghasilkan impak positif dalam usaha merealisasikan pencapaian tenaga yang terjamin, mampu milik dan mampan.

Tambah Hajiji lagi, usaha itu selari dengan Pelan Induk Tenaga – Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040), untuk kemajuan Sabah dan manfaat kepada rakyat.

MTS diwujudkan bagi menggantikan Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah.

Penubuhan itu adalah berikutan serah kuasa kawal selia tenaga daripada Kerajaan Persekutuan kepada negeri Sabah.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama