Penganggur warga asing ditahan 'lalok' syabu di kawasan terbiar

Polis menahan dua lelaki warga asing, miliki syabu


TAWAU: Polis menahan dua lelaki penganggur warga asing bersama dadah jenis syabu seberat 0.08 gram di kawasan bangunan terbiar sekitar Bandar Tawau, tengah malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan selepas pihak polis membuat tugas ronda cegah jenayah di sekitar kawasan berkenaan.

"Sepasukan polis dari Balai Polis Tawau ketika melakukan rondaan cegah jenayah sekitar kawasan Bandar Tawau kira-kira jam 12.05 tengah malam dan melihat dua orang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang duduk di dalam bangunan berkenaan.

“Kedua-dua suspek mendiamkan diri ketika pihak polis melakukan siasatan awal.

"Hasil pemeriksaan lanjut, pihak polis menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.08 gram bersama peralatan disyaki untuk menagih dadah.

"Suspek di bawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan hasil ujian awal saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya di sini, pada Isnin.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Polis Daerah Tawau memberi amaran keras tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu dalam menangani isu dadah mahupun jenayah yang berlaku di daerah ini,” tegasnya.

Tambahnya, pihak polis merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai khususnya penduduk di daerah Tawau kerana dapat menyalurkan maklumat serta peka terhadap perlakuan jenayah di sekeliling mereka.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama