Cubaan beri suapan elak aktiviti penjualan tiket judi haram gagal, lelaki didenda di Tawau


Tertuduh mengaku bersalah menawarkan suapan kepada polis


TAWAU: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,600 ke atas seorang peniaga selepas mengaku bersalah membabitkan empat pertuduhan menawarkan suapan kepada anggota polis tiga tahun lalu.

Tai Nyuk Kong, 45, mengaku salah di ke atas semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan hakim Jason.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Nyuk Kong gagal melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung suapan bernilai RM200 dan RM500 kepada pegawai polis pada 19 April hingga 2 Jun 2021.

Tertuduh dilaporkan melakukan perkara itu sebagai balasan agar tidak mengganggu aktiviti penjualan tiket judi haram di sekitar daerah Tawau.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 25 (3) Akta Suruhanjaya Pengegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(4) Akta yang sama melibatkan kesemua kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Nurul Izzati Sapifee dibantu pegawai pendakwa, Norsham Saharom memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh membabitkan kes berkepentingan awam.

Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM6,600 bagi semua pertuduhan dan memerintahkan tertuduh dipenjara sehingga tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama