Pemuda didakwa, bunuh anak pemilik restoran terkenal Sandakan


Tertuduh semasa dibawa ke Mahkamah Majistret Sandakan, pada Isnin


SANDAKAN: Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret Sandakan, pada Isnin, kerana membunuh anak pemilik restoran terkenal di Sandakan pada Julai lalu. 

Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Mohammad Zulfaizzie Hanafi Mohd Firdaus, 23 tahun, bagi menunggu laporan kimia dan bedah siasat mangsa. 

Majistret Nur Faezah Jafry kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 10 September depan dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh. 

Mengikut kertas pertuduhan, pemuda itu bersama dua lagi yang masih bebas membunuh Mohammed Noufal Abdul Rasheed, 35 tahun, kira-kira pukul 5.18 pagi, 21 Julai hingga 11.30 pagi, 25 Julai lalu. 

Kesalahan itu dilakukan di kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit jalan Sungai Memanjang, Sandakan. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan. 

Terdahulu, pendakwaan dilakukan Asisten Superintendan Zamri Zakaria. 

Tertuduh tidak diwakili peguam. 

Pada 25 Julai lalu, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki di kawasan semak berdekatan ladang kelapa sawit disyaki mati kerana dibunuh. 

Tiga lelaki kemudiannya diburu polis bagi membantu siasatan sebelum seorang daripada mereka iaitu tertuduh berjaya ditangkap pada 1 Ogos lalu. 

Pemuda tersebut ditahan di Selangor dipercayai dalam usaha melarikan diri. 



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama