Tindakan Jo-Anna keluar tidak beri kesan kepada Warisan: Shafie Apdal



Shafie semasa berucap sewaktu hadir dalam Jelajah Presiden Warisan Bagi Parlimen Sepanggar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Ahad



KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan status Jo-Anna Sue Henley Rampas yang kini keluar parti dilihat tidak memberi kesan ke atas Warisan. 

Mohd Shafie berkata, tindakan bekas Timbalan Ketua Wirawati dilihat adalah hak individu. 

"Terpulang kepada dia untuk meninggalkan Warisan jika ingin memilih parti lain.

"Apa yang penting adalah rakyat. Mgkin dia keluar tetapi kita tahu masih ramai yang mahu menyertai Warisan.

"Parti ini tidak bergantung dengan mana-mana individu. 

"Biarkan....Mereka ada hak untuk keluar. Kita tidak ada paksaan. 

"Kalau dia percaya kerajaan dipimpin Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) boleh selesaikan masalah empat tahun itu terpulang," katanya. 

Mohd Shafie berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Jelajah Presiden Warisan Bagi Parlimen Sepanggar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai pada Ahad. 

Dalam pada itu, ditanya sama ada Warisan  masih kekal memberikan sokongan ke atas kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Semporna mengiyakan perkara tarbabit. 

Bagaimanapun, beliau berkata, bukan menjadi suatu permasalahan kepada parti sekiranya dibuang daripada kerajaan sedia ada. 

"Kita masih dalam kerajaan yang ada, namun terserah kepada mereka kalau mahu pecat. 

"Bukan menjadi masalah buat saya sekiranya Warisan dipecat," katanya.

Sementara itu, Mohd Shafie juga tidak menolak kemungkinan wujudnya kerjasama dengan parti politik lain pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang. 

Menurut beliau, parti itu sentiasa terbuka namun berpendapat kerjasama politik antara parti adalah hak masing-masing. 

"Di peringkat negeri kita pembangkang tetapi di Pusat kita sokong Pakatan Harapan (PH). Hal ini cukup jelas di semua peringkat. 

"Kita pun bukan ada kerjsama dengan UMNO. Kita tengok macam mana keadaannya nanti sebab UMNO juga pembangkang. 

"Kerjsama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pula, ia terserah dengan Jeffrey. Kita selaku rakyat Sabah sudah sampai ketikanya bersatu demi rakyat. 

"Apabila bercakap tentang kerjasama ini, kita ada 20 parti di Sabah. Oleh itu, terserah kepada mereka mahu bekerjasama dengan Warisan atau sebaliknya," katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama