SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan maut dipercayai selepas kenderaan Isuzu Dmax yang dipandunya melanggar pokok di Batu 3, Sandakan pada pagi Ahad.
Komander Operasi, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Rosemidian@Rosdi Majid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.30 pagi.
"Selepas menerima panggilan kecemasan, anggota kami seramai lapan orang daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan telah diarahkan ke lokasi kejadian yang berada sejauh satu kilometer.
"Di lokasi kejadian, anggota kami berjaya mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.
"Mangsa, 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan dan mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Ahad.
Tambahnya, setelah memastikan keadaan selamat, operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.20 pagi.