KOTA KINABALU: Jelajah Saya Digital (JSD) dirangka dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesedaran dan celik digital bagi semua pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Pengerusi MDEC, Syed Ibrahim Syed Noh berkata usaha itu adalah sebuah usaha berterusan untuk memfokuskan kepada peralihan ke era pendigital menggunakan telefon pintar bagi semua urusan dan pengendalian aplikasi.
"Dunia sekarang bergerak pantas ke arah pendigital dan aspek penyampaian maklumat serta komunikasi juga kian meluas khasnya dari hujung jari, dengan telefon pintar.
"Pelbagai aplikasi untuk beli belah, pekerjaan, pembelajaran, keusahawanan dan sebagainya ada dan inilah usaha MDEC untuk mempersiap rakyat celik digital, melalui Pelan Induk Perindustian Baharu (NIMP)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa pelancaran Jelajah Saya Digital di Pusat Konvensyen Kota Kinabalu (SICC), di sini pada Sabtu.
Menurut Syed Ibrahim lagi, Kota Kinabalu mempunyai potensi yang luas dalam aspek pelancongan, kebudayaan dan pengusaha amat digalakkan untuk mengaplikasi segala kecanggihan digital bagi meluaskan lagi pasaran serta kebolehpasaran perkhidmatan sedia ada.
"Saya yakin di KK ini, banyak yang boleh dilakukan dan peniaga tempatan mesti ambil peluang, pasarkan dan promosikan semua perkhidmatan atau produk dengan lebih luas, melalui ruang digital.
"Kita di MDEC sentiasa akan membantu untuk usaha memantapkan kemahiran digital dan memberikan kemahiran kepada semua yang memerlukan," katanya lagi.
Selain itu, beliau juga memberitahu bahawa JSD itu merupakan kali ke-15 sejak diadakan dari awal tahun dan JSD akan diperluas dan diadakan di lebih banyak lokasi.
"JSD berteraskan kepada empat elemen iaitu Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance dan Saya Digital Kerjaya.
"Kesemua elemen inilah yang kita wujudkan pecahan pelbagai program dibawahnya dan semuanya dilaksanakan secara fizikal dan secara dalam talian, khas untuk penglibatan semua pihak dan rakyat, tanpa mengenal golongan usia," katanya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu bahawa Sabah sudah mencatatkan jumlah penglibatan usahawan seramai 42,900 orang dengan nilai pendapatan yang berjaya dijana sebanyak RM51.93 juta.
"Ini yang saya katakan, orang Sabah hebat dan boleh buat kerana sudah terbukti.
"E-sahawan ini, kita melatih lebih 560 ribu pelajar institusi pengajian tinggi dan kolej-kolej vokasional serta kemahiran, dan daripada jumlah ini, mereka berjaya menjana pendapatan berjumlah RM1.26 billion.
"Sungguh membanggakan, dan usaha kita dalam menekankan perihal bakat, kemahiran dan penerokaan kepada peluang dalam industri, nyata berhasil," jelasnya lagi.
Tambah beliau lagi, melalui My Digital Maker, Sabah juga merupakan antara negeri yang terlibat dengan penglibatan sekolah-sekolah khasnya di sekitar Kota Kinabalu.
"My Digital Maker fokus untuk murid sekolah yang mana kita dorong minat mereka dan cetuskan inovasi baru khasnya dalam teknologi dan digital.
"Kita yakin anak-anak di peringkat sekolah ini, banyak yang mempunyai bakat dan minat ke arah usaha ini," ujar beliau lagi.
Hadir merasmikan majlis pelancaran JSD Kota Kinabalu itu ialah Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hing.