![]() |
Hajiji (kanan) seru PBT untuk pastikan tidak ada salahguna kuasa di kalangan penerima PPR |
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dilakukan dalam kalangan penerima Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan masing-masing.
Hajiji berkata, ia berikutan wujudnya penerima kediaman PPR yang memberi sewa rumah mereka kepada orang lain semata-mata untuk mengaut keuntungan.
"Perbuatan itu menunjukkan penerima kediaman PPR terbabit tidak memerlukan kemudahan berkenaan.
"Tindakan mereka itu mengakibatkan orang lain yang rumah PPR tidak mendapat peluang sewajarnya.
“Berdasarkan perjanjian, sesiapa yang mendapatkan rumah di bawah program PPR tidak dibenarkan menyewakannya kepada orang lain.
“Oleh itu, saya mahu semua PBT meneliti semua permohonan dan memantau dengan tegas pelaksanaan program PPR di kawasan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja di Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri di Wisma Innoprise, pada Isnin petang.
Sementara itu, Hajiji turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri memohon sebanyak 5,000 lagi rumah PPR dibina di Sabah pada tahun depan.
Beliau menyatakan permohonan itu disuarakannya ketika pertemuan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan persekutuan, Nga Kor Ming, baru-baru ini.
“Saya ada berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan persekutuan (Nga Kor Ning), baru-baru ini dan meminta supaya 5,000 rumah PPR untuk Sabah dimasukkan dalam belanjawan kementerian pada tahun depan,” ujar beliau lagi.
Hadir sama dalam pertemuan lawatan kerja itu adalah menteri-menteri kabinet Sabah.