Cubaan seleweng 206 liter diesel gagal, pemandu lori ditahan KPDN

KPDN sita lori bersama 206 liter diesel di Penampang (Sumber Foto: KPDN Sabah)

PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menahan seorang pemandu lori dipercayai cuba menyeleweng barang kawalan berupa minyak diesel dalam satu operasi Ops Tiris di sekitar Jalan Datuk Panglima Banting, pada Isnin.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sekitar pukul 11 pagi, pasukan pegawai penguatkuasa dari Ibu Pejabat KPDN mengesan sebuah lori kotak jenama Daihatsu Model Super Delta cuba membuat pembelian diesel di sebuah stesen minyak. 

"Pemeriksaan lanjut mendapati lori tersebut mempunyai tangki tambahan jenis fiber, di belakang lori dan turut disyaki mengandungi diesel yang di anggarkan sebanyak 206 liter. 

"Lori dan diesel seterusnya disita bagi tujuan siasatan lanjut kerana pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan," katanya.Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, pada Isnin petang.

Dalam pada itu Georgie juga memaklumkan bahawa nilai m keseluruhan bagi lori dan diesel yang disita adalah berjumlah RM 30,442.90.

"Pemandu lori merupakan warga tempatan yang berumur 31 tahun dan sudahpun ditahan bagi tujuan membantu siasatan.

"Selanjutnya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan. 

"Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," tegasnya.

Tambah beliau, KPDN Negeri Sabah sentiasa menjalankan pemeriksaan dan pemantauan berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di seluruh negeri bagi membendung daripada berlakunya sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama