![]() |
Sumber Foto: AFP |
LAHAD DATU: Lahad Datu sudah dikenalpasti sebagai lokasi strategik bagi tapak pelancaran roket atau satelit dalam negara.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata hal itu dinyatakan selepas penelitian dibuat oleh pihak kementerian.
Katanya, hal tersebut telah dinyatakan dan kini dalam proses analisis.
"Andai kata hal ini dapat direalisasikan, pastinya ia akan melonjakkan lagi ekonomi dalam negara kita setanding dengan negara-negara membangun yang lain, yang sudah jauh ke hadapan khasnya dalam industri berkaitan," katanya semasa ditemui media dalam program 'Kupi-Kupi Bah Kita' bersama pengamal media disini.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Lahad Datu juga berkata, terdahulu, Amerika Syarikat yang dahulunya memulakan tapak pelancaran roket sudah mampu berkembang dalam teknologi angkasa dan menyumbang kepada penjanaan kewangan trillion dolar kepada negara itu.
"Pastinya, jika tapak melancarkan roket berjaya, kita akan menjadi antara yang terawal dalam industri roket di negara kita dan pastinya ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Yusof berkata hal tersebut hanya mampu untuk dicapai sekiranya semua pihak yang berkaitan saling bekerjasama dan bersatu hati dalam merealisasikan aspirasi pembangunan negara.
"Inilah yang kerajaan kita harapkan daripada semua pihak, tentunya tidak lain tidak bukan kerjasama erat oleh semua, termasuk para pengalamal media yang bertugas untuk menyampaikan polisi atau program kerajaan.
"Kita boleh menjalankan peranan masing-masing dan memberikan kefahaman kepada rakyat tentang usaha dan misi kerajaan yang ingin dicapai dan direalisasikan," ujar beliau lagi.