![]() |
Nelayan hilang ditemui selamat di Labuan |
LABUAN: Seorang nelayan dilaporkan hilang sejak petang kelmarin semasa keluar memancing ditemui selamat dalam keadaan terapung bersama tong di kawasan perairan Pulau 3 dekat sini petang Selasa.
Mangsa dikenali sebagai Ramlee Mahroff, 46, telah ditemukan oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, pada 19 Ogos 2024 , pukul 7.05 petang satu laporan polis menyatakan seorang lelaki yang keluar memancing pada hari yang sama kira-kira pukul 6.00 pagi masih belum kembali sehingga laporan polis dibuat.
"Pengadu iaitu isteri kepada mangsa gagal menghubungi suaminya lalu segera membuat laporan polis.
"Bertindak atas maklumat, satu Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) telah ditubuhkan untuk operasi mencari dan menyelamat oleh pelbagai agensi keselamatan bagi mengesan mangsa di kawasan Kampung Aru," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pada 20 Ogos (hari ini) lebih kurang pukul 1.25 petang, sebuah bot Sukarelawan Bomba Nelayan telah menemui tong ikan berwarna merah di kedudukan empat batu nutika menuju ke Pulau 3 dipercayai milik mangsa.
"Proses pencarian diteruskan oleh pasukan penyelamat di lokasi tersebut dan lebih kurang pada pukul 4.18 minit petang, mangsa ditemukan selamat dalam keadaan terapung bersama tong di kawasan perairan Pulau 3 oleh Pasukan Penyelamat APMM.
"Mangsa dibawa balik ke pengkalan dan seterusnya dihantar ke hospital Labuan untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan selanjutnya," katanya.
Mohd Hamizi berkata, usaha menyelamat mangsa melibatkan seramai 134 pegawai dan anggota serta melibatkan 11 buah aset milik pelbagai agensi keselamatan.
"Agensi-agensi terlibat terdiri daripada APMM, JPBM, TUDM, Kastam, APM ASB, ATM serta pasukan sukarelawan.
"Pihak polis merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih atas komitmen semua pasukan yang terlibat dalam membantu mengesan mangsa sehingga akhirnya ditemui," ujar beliau lagi.