![]() |
Jahid hadir mewakili Hajiji, sedang beramah mesra bersama kanak-kanak yang turut hadir semasa program kembara, pagi Jumaat |
"Ambil bahagian dalam Inisiatif ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’, tunjukkan semangat cinta dan kebanggaan kepada negara tercinta.
“Dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah di setiap rumah, kita jelas mempamerkan semangat kemerdekaan dan mengukuhkan ikatan sebagai warganegara Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian semasa perasmian Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Masyarakat Pekan Tenghilan, pagi Jumaat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Jahid Jahim.
Menurut Hajiji, tahun 2024 adalah tahun istimewa untuk rakyat Sabah kerana Hari Kebangsaan dan Hari Sabah disambut serentak selepas diwartakan pada 5 Jun baru-baru ini secara rasmi.
"Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah penting untuk kita kerana inilah masanya rakyat menghayati makna kebebasan dan harus dikekalkan," katanya.
Hajiji turut mengingatkan semua pihak untuk memahami makna kemerdekaan dan memainkan peranan masing-masing untuk memelihara tanah air dan perjuangan mengekalkan kebebasan tanah air.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata bahawa usaha mencorak masa depan negara kini terletak kepada kesungguhan generasi muda.
"Anak muda kita kini memikul amanah untuk menjaga dan mengekalkan kesejahteraan negara dan saya menyeru agar semua anak muda, rebut peluang depan mata dan bina kejayaan cemerlang untuk negara," katanya lagi.
Hajiji juga mengingatkan semua rakyat seluruh negeri untuk sentiasa mengenang pengorbanan pahlawan negara dan sentiasa bersyukur.