Manfaatkan peluang tambah ilmu, kemahiran: Hajiji

Hajiji (tengah) berswafoto bersama pelajar cemerlang penerima biasiswa PETRONAS

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta agar penerima biasiswa Tajaan Pendidikan PETRONAS 2024 negeri Sabah untuk memanfaatkan peluang menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan kemahiran.

“Saya gembira dan yakin dengan anda semua, masa depan anda pasti cerah.

"Untuk itu, lakukan yang terbaik kerana masa depan anda semua adalah masa depan negeri Sabah.

"Anda semua penerus yang akan menyambung legasi pembangunan Sabah dan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi beramah mesra bersama 12 orang penerima daripada 107 yang dipilih dari Sabah tahun 2024, di Menara Kinabalu di sini, pada Jumaat.

Kesemua 12 penerima biasiswa itu adalah pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 Sabah dan antara 600 pelajar yang dipilih di seluruh negara untuk biasiswa itu.

Dalam pada itu, Hajiji juga memuji usaha PETRONAS dan kerja keras dalam memberi sokongan berterusan bagi usaha pembangunan akademik belia dan menaja 107 pelajar dari Sabah untuk melanjutkan pengajian, pelbagai bidang.

“Saya amat hargai komitmen PETRONAS untuk membangunkan modal insan selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri sentiasa mengutamakan pembangunan modal insan dan memperuntukkan RM470 juta untuk tujuan tersebut.

"Peruntukan ini termasuklah biasiswa dan pinjaman pendidikan, namun ia tidak cukup dan kerana itu jugalah, kita minta Yayasan Sabah masuk.

"Kita juga berusaha untuk meningkatkan Tabung Pendidikan Sabah dengan fokus untuk membantu membiayai pendidikan anak-anak negeri ini, insyaAllah," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji berkongsi bahawa Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif dalam membantu pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dengan memberi setiap seorang daripada mereka bantuan one-off sebanyak RM200.

Selain itu, usaha yang sama turut dilakukan dengan menyediakan bantuan one-off kepada mereka yang mendaftar di institusi pengajian tinggi,

"Untuk peringkat Ijazah, kita berikan RM2,000 dan untuk peringkat diploma pula. kita berikan RM1,500," katanya lagi.

Hadir sama dalam sesi ramah mesra itu ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datuk Raisin Saidin, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Datuk Ir Bacho Pilong dan Pengurus Besar Kanan PETRONAS (Global HR Partners Downstream) Luqmahani Mustafa Kamal.

Selain itu, Pengurus Besar Pelaburan Modal Insan PETRONAS Syed Mohammad Muhafiz Syed Mohd Bakar, dan Pengurus Besar Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan PETRONAS Siti Ayu Abdul Wahab juga turut sama meraikan momen tersebut.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama