![]() |
Lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu |
TAWAU: Seorang lelaki ‘transporter’ ditahan polis bersama 13.46 gram syabu di hadapan sebuah pondok hentian bas, Batu 15 Jalan Apas, Tawau, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bandar Sri Indah (BSI) yang diketuai oleh Ketua Polis Balai kira-kira pukul 3.30 petang setelah mendapat maklumat awam.
Katanya, suspek warga asing berusia 52 tahun itu, pada mulanya dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika polis menjalankan rondaan cegah jenayah.
“Ketika siasatan awal dijalankan, suspek telah menyerahkan tiga paket plastik lutsinar berlainan saiz setiap satunya berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 13.46 gram dengan anggaran harga RM1,100,” katanya.
Suspek ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan hasil ujian saringan mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah.
Jelasnya, suspek direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis juga giat dalam usaha mengesan rangkaian pengedaran dadah di daerah ini dan tidak akan berkompromi dengan penjenayah malah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan dadah.
Tambahnya, mengedar, memiliki atau menyalahgunakan dadah merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang, PDRM Tawau mengalukan kerjasama masyarakat untuk menyalurkan maklumat bersama membanteras kegiatan jenayah dan dadah.