PENAMPANG: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) mengangihkan bantuan bernilai RM140,000 bagi Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM (PPKY) Negeri Sabah.
Menerusi jumlah itu, antara sumbangan berupa satu set makanan bernilai RM100 kepada 180 keluarga berjumlah RM18,000; sumbangan tunai RM500 kepada lima keluarga daripada kumpulan B40, pesakit kronik dan anak yatim di Kampung Lok Kawi Baru berjumlah RM2,500.
Selain itu, penganjuran jamuan keraian yang memberi manfaat kepada 400 orang berjumlah RM17,000; sumbangan bagi pelaksanaan program motivasi Celik Kendiri kepada 50 pelajar berjumlah RM2,500; bantuan peralatan dan prasarana kepada lima buah sekolah yang keseluruhan berjumlah RM5,000; dan sumbangan penambahbaikan tempat letak kenderaan di Masjid Dhuyufur Rahman berjumlah RM5,000 turut disampaikan.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus berkata, pihaknya turut memperuntukan sumbangan usaha sama strategik kepada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM) Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM90,000 bagi mengenal pasti calon penerima yang layak untuk dipertimbangkan bantuan baik pulih premis perniagaan Program Sinar Lestari YaPEIM.
"Kita berharap bantuan dan program-program kemasyarakatan YaPEIM dapat memberi manfaat dan nilai tambah dalam kehidupan penerima.
"Malahan saya yakin program Celik Kendiri akan memberi motivasi kepada pelajar di sekolah rendah dan menengah bagi memupuk jati diri dan sahsiah ke arah yang lebih positif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Perasmian Projek Pembangunan Komuniti YaPEIM (PPKY) Peringkat Negeri Sabah di Masjid Dhuyufur Rahman, Kampung Lok Kawi Baru Putatan pada Sabtu.
Acara perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Mohd Sufian Matin.
Dalam pada itu, Mohd Radzif menyatakan YaPEIM menerusi Seksyen Pembangunan Usahawan turut mengadakan taklimat berkaitan keusahawanan kepada komuniti setempat dan akan mengenal pasti mereka yang berpotensi untuk dibantu menerusi program/skim di bawah YaPEIM Niaga.
Beliau berkata, PPKY melalui program Usahawan Komuniti YaPEIM telah membantu sejumlah usahawan komuniti dalam mengembangkan potensi perusahaan masing-masing melalui bantuan pembiayaan usahawan dan pemantauan jangka panjang.
"Setakat ini, PPKY sudah menyantuni masyarakat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Kelantan, Pahang dan Melaka.
"YaPEIM juga merancang untuk melaksanakan PPKY di tujuh lagi negeri pada tahun ini termasuk yang terkini di negeri Sabah.
"Sejak tahun 1985 hingga Disember 2023, YaPEIM telah mengagihkan peruntukan sebanyak RM700 juta kepada 10 juta penerima manfaat di seluruh negara membabitkan tiga teras program (Pendidikan, Kemasyarakatan dan Keusahawanan) merangkumi agihan YaPEIM Didik, YaPEIM Prihatin dan YaPEIM Niaga.