![]() |
Polis menahan lelaki bersama rampasan syabu bernilai lebih RM60 di Tawau |
TAWAU: Polis merampas syabu seberat 930.00 gram yang dianggar bernilai lebih RM60 ribu dalam operasi serbuan yang dijalankan di sekitar Bandar Tawau pada Rabu lalu.
Polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang disyaki merupakan pengedar dadah di sekitar bandar itu.
Suspek ditahan ketika serbuan kira-kira pukul 8.15 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.
![]() |
Hasil rampasan yang ditemui pihak polis |
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek yang berasal dari Batu 4, Jalan Apas itu ditahan bersama dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM63,190.00.
"Semasa berada di lokasi serbuan, pihak polis melihat sebuah kenderaan yang berhenti di tempat letak kereta dan kelihatan seorang suspek seorang lelaki keluar dari kenderaan tersebut dengan memakai beg silang.
“Suspek berjaya ditahan setelah pihak polis mendekati suspek berkenaan, hasil pemeriksaan di dalam beg silang yang dipakai, polis menjumpai satu beg plastik berwarna hitam dan pemeriksaan lanjut terdapat satu paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu dengan anggaran berat 930.00 gram,” katanya pada Sabtu.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine (meth) dan amphetamine (amp) menerusi ujian saringan air kencing.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang terlibat dan suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.