![]() |
Lelaki maut di lokasi kejadian selepas tunggang motosikal laju |
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas dipercayai menunggang motosikal dengan laju hingga terbabas di bahagian bahu jalan di Jalan Putra Mas, Telipok malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.28 malam, mangsa iaitu lelaki berusia 22 tahun dipercayai dari arah jalan Pan Borneo menuju ke Bandaraya Kota Kinabalu.
"Hasil siasatan awal mendapati punca kemalangan disebabkan motosikal yang ditunggang mangsa terbabas ke bahagian bahu kanan jalan dipercayai laju dan melanggar tebing konkrit pejalan kaki.
"Motosikal ditunggang mangsa rosak di bahagian hadapan dan mangsa turut disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam sebuah kenyataan media, malam Rabu.
Dalam pada itu, Kasim memaklumkan, siasatan masih diteruskan dan sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.