Geng curi basikal positif dadah tumpas di Tawau

Pencuri tumpas, positif dadah jenis syabu

TAWAU: Polis berjaya menumpaskan geng curi basikal susulan penahanan dua lelaki di sekitar bandar Tawau, pada Isnin lalu (5 Ogos).

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek lelaki warga tempatan berumur 30 tahun itu ditahan sepasukan Polis dari Strike Team Balai Polis Tawau kira-kira pukul 1.00 pagi ketika dalam rondaan Op Kesan di sekitar kawasan Taman Ria 7, Tawau.

Katanya, semasa rondaan dilakukan, pihak polis mendapati seorang lelaki yang telah dikenalpasti terlibat dengan kes jenayah curi berada dalam keadaan mencurigakan berada di hadapan rumahnya.

“Semasa polis mendekati, suspek cuba melarikan diri dan bertindak agresif namun berjaya ditahan, pemeriksaan lanjut menemui dua paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.03 gram di dalam poket seluar suspek,” katanya.

Jelasnya, penahanan itu turut membawa kepada penemuan tiga buah basikal berlainan jenama yang disyaki dicuri dan disembunyikan di belakang rumah.

Menurutnya, susulan dari tangkapan itu, pihak polis menahan seorang lagi suspek warga tempatan berumur 51 tahun di kampung Tanjung Batu Darat, Tawau kira-kira pukul 1.30 pagi.

Hasil serbuan itu, pihak polis turut menemukan sebuah basikal berjenama yang telah diubah suai disembunyikan di belakang rumah suspek.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek, polis menemui dua paket plastik lutsinar kecil berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.09 gram di dalam poket seluar suspek,” katanya.

Ujarnya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis syabu dan masing-masing mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.

Tambahnya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama