KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan, iaitu minyak diesel dalam satu operasi Ops Tiris di sekitar Jalan Penampang, pada Jumaat malam.
Pengarah KPDN negeri Sabah, Georgie Abas berkata, pasukan pegawai penguat kuasa dari Ibu Pejabat KPDN Sabah telah menjalankan pemeriksaan yang seterusnya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenama Isuzu Trooper mengandungi tangki tambahan jenis IBC pada bahagian belakang disyaki berisi minyak diesel anggaran 900 liter.
"Pasukan turut menahan sebuah lori jenama Toyota Dyna yang mempunyai tangki jenis fiber di bahagian belakang, disyaki berisi minyak diesel anggaran 600 liter ketika cuba membuat pembelian minyak diesel di sebuah stesen minyak di sekitar Jalan Penampang.
"Nilai keseluruhan sitaan adalah, berjumlah RM43,855.00 yang melibatkan minyak diesel dianggar 1,500 liter, satu Isuzu Trooper, satu lori Toyota Dyna, satu unit tangki jenis IBC, satu unit tangki jenis fiber, satu unit hos getah dan dua unit mesin pam minyak," katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Sabtu.
Katanya lagi, dua lelaki warga tempatan berumur 40 tahun dan 29 tahun yang merupakan pemandu dua kenderaan yang disita turut ditahan bagi tujuan membantu siasatan.
"Berdasarkan keterangan awal, kedua-dua pemandu kenderaan yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan membawa minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tambahan selain tangki minyak kenderaan.
"Dikenalpasti juga modus operandi bagi aktiviti ini adalah membeli minyak diesel bersubsidi dari stesen-stesen minyak yang beroperasi sebelah malam dan memgumpulkannya sebelum disyaki menjual kepada pihak yang tidak layak menggunakan minyak diesel bersubsidi dengan harga yang lebih tinggi," jelasnya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan, iaitu minyak diesel dengan tujuan untuk melakukan kesalahan.
Menerusi Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.
Georgie sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.