Laksana pengambilan khas pelajar Sabah, Sarawak untuk UKKM: Ewon

 

Ewon ketika ditemui pemberita

PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berhasrat agar Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) melaksanakan pengambilan khas bagi pelajar Sabah, Sarawak yang tidak dapat melanjutkan pengajian menerusi permohonan UPUOnline Universiti Awam. 

Ewon berkata, setakat ini, UKKM telah memulakan tawaran pengajian dan sedang beroperasi dengan jumlah 100 orang pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat Diploma sehingga peringkat Ijazah Kehormat dan Ijazah Kedoktoran (PhD) di Kuala Lumpur.

"Bagi mereka yang ingin melanjutkan pengajian dalam peringkat Ijazah Sarjana atau PhD, kita mempunyai kursus sedemikian termasuk kursus eksekutif bagi mereka yang bekerja tetapi ingin mengambil satu kursus eksekutif Ijazah Sarjana di UKKM ini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Sabtu. 

Sementara itu, Ewon turut menyatakan bahawa pelajar yang merupakan anak kepada ahli koperasi boleh memohon pembiayaan yang disediakan oleh kementeriannya bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). 

Jelasnya, permohonan itu juga boleh dibuat terus melalui beliau dan akan dipanjangkan kepada pihak UKKM, bagi tujuan penelitian.

"Tapi kita utamakan pelajar di kalangan B40 atau kepada semua anak muda di seluruh negara dan sekiranya ada permintaan besar di Sabah, Sarawak dan luar bandar Semenanjung, ini yang kita ingin lihat. 

"Supaya mereka bukan hanya dapat melanjutkan pengajian tetapi mampu membantu membangunkan sektor koperasi kita.

"Antara kursus yang ditawarkan di UKKM adalah, pengajian dalam pentadbiran koperasi, pentadbiran keusahawanan selain kita fokus kepada pengajian dalam bidang keusahawanan dan koperasi," jelasnya. 




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama