Ketua Menteri Sabah dijangka rasmi BOHEX 2024

BOHEX 2024, bakal berlangsung di SICC, mulai 21 Disember hingga 25 Disember dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor 


KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka bakal merasmikan

Borneo International Halal Exhibition (BOHEX) 2024 yang dijadualkan akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) bermula 21 hingga 25 Disember depan.

Dianjurkan buat julung kalinya, lebih 100,000 pengunjung dijangka akan membanjiri dan memeriahkan acara yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal dari serata dunia itu.

Pengerusi BOHEX, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, acara itu bukan hanya melibatkan produk makanan atau minuman halal sahaja tetapi turut merangkumi pendidikan, francais, perbankan Islam, pelancongan nuslim, teknologi makanan dan pembungkusan, bahan ramuan halal, media dan rekreasi, fesyen, perubatan dan kosmetik.

"BOHEX juga bakal menjadi platform bagi pengusaha, pengilang, peniaga dan penyedia perkhidmatan untuk berinteraksi, bertukar pandangan serta menjalin kerjasama strategik dalam industri halal tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada petang Jumaat.

Hadir sama ialah Pengarah BOHEX Jasnie Mohd Yakub, Pengerusi BOHEX Andi Datuk Andi Andi Yakin dan Pengarah BOHEX Mohd Arieff Hafizi Mohd Hashim.

Mengulas lanjut berkenaan program itu, Abdul Hakim menyatakan bahawa lebih 650 vendor dijangka akan menyertai penganjuran acara itu termasuk dari Semenanjung, Sarawak, selain beberapa negara lain seperti China, Brunei dan Indonesia.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan antara pengisian lain sepanjang BOHEX 2024 m adalah sesi perkongsian pengetahuan mengenai industri halal bersama pakar dan golongan professional dari agensi kerajaan dan swasta.

"Ia termasuklah sesi Townhall oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memberi pendedahan mengenai kepentingan halal kepada setiap lapisan masyarakat dan memberi penekanan kepada kepentingan inovasi dalam memacu perkembangan industri halal.

“Selain itu, pelbagai aktiviti serta acara hiburan menanti pengunjung seperti Konsert BOHEX pada 25 Disember yang bakal menampilkan artis terkenal tanah air dan Indonesia. 

“Beberapa aktiviti menarik termasuk pertandingan kesenian, aktiviti menarik untuk kanak-kanak dan dewasa seperti pertandingan mewarna, syarahan kanak-kanak, Fun Run BOHEX, pertandingan e-Sport, nasyid serta tarikan utama iaitu cabutan tiket bertuah yang menawarkan hadiah utama iaitu sebuah kereta Perodua Bezza dan Axia,” ujar beliau lagi.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama