Kerajaan Negeri serah 444 geran tanah anak negeri untuk daerah Kudat

Hajiji (dua dari kanan) menyerahkan geran tanah anak negeri kepada penerima di daerah Kudat


KUDAT: Kerajaan Negeri menyerahkan 444 geran tanah anak negeri kepada penduduk di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah Kudat, yang melibatkan keluasan sebanyak 1,130.09 hektar.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penyerahan geran tanah berkenaan diharap mampu meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan terbabit.

“Penyerahan geran tanah anak negeri pada hari ini berikutan beberapa siri penyerahan geran tanah yang sudah dilaksanakan di beberapa kawasan antaranya di Pitas dan di Pintasan, Kota Belud.

“Ini adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

"Tanggungjawab ini diambil dengan penuh dedikasi untuk memastikan kesejahteraan dan kestabilan sosio ekonomi rakyat,” katanya.

Hajiji (depan) beramah mesra bersama penduduk Kudat yang datang ke pelancaran program

Hajiji berkata demikian ketika berucap sempena Pelancaran Program Bakti Madani Kudat 2024 di Dataran Tomborungus di Kudat pada Sabtu.

Pemberian geran itu diberikan kepada 353 penerima geran bagi DUN Matunggung, 55 penerima geran bagi DUN Tanjong Kapor dan 36 penerima geran bagi DUN Banggi.

Dalam majlis itu, Hajiji turut menekankan kepentingan membawa pembangunan di daerah berkenaan termasuklah bercadang mewujudkan satu taman perindustrian yang baharu di Kudat.
Hajiji meluangkan masa melawat tapak program

Beliau berkata, dengan wujudnya taman perindustrian di Kudat adalah bersesuaian berikutan daerah berkenaan mempunyai pelbagai kemudahan yang sedia ada termasuk laut yang dalam dan pelabuhan selain lokasi yang strategik kerana dekat dengan beberapa negara seperti China, Korea dan Jepun.

“Oleh itu, amat penting untuk kita membawa pembangunan di daerah ini dengan pembinaan taman perindustrian, yang sudah pasti memberi manfaat kepada penduduk dan daerah ini.

“Seluas kira-kira 5,000 ekar kawasan diperlukan dan sudah mengenalpasti kawasan terbabit dan untuk merealisasikan usaha ini, kita memerlukan kerjasama daripada wakil rakyat, Ahli Parlimen dan rakyat yang mungkin terlibat tanahnya.

“Konsep kita bukan ambil tanah tetapi kita libatkan rakyat yang ada tanah di kawasan yang dikenalpasti. Bagaimanapun, kita akan berbincang lebih lanjut dengan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri serta Ahli Parlimen di daerah ini,” ujarnya lagi.








Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama