![]() |
Fenomena Hujan Meteor Perseids bakal berlaku menjelang malam 12 Ogos hingga subuh 13 Ogos |
KOTA KINABALU: Kemuncak bagi fenomena Hujan Meteor Perseids dijangka berlaku dengan purata meteor 100 per jam, menjelang malam 12 Ogos hingga subuh 13 Ogos.
Agensi Angkasa Negara (MYSA) dalam satu kenyataan pada malam tadi (Jumaat) memaklumkan bahawa di Malaysia, kenampakan hujan meteor berkenaan adalah baik kerana bulan akan terbenam pada tengah malam ketika waktu kemuncak fenomena terbabit berlaku.
“Hujan Meteor Perseids merujuk kepada titik kemunculan hujan meteor di langit, iaitu di kawasan buruj Perseus.
"Walau bagaimanapun, kemunculannya masih boleh berlaku dari pelbagai arah.
“Fenomena ini berlaku setiap tahun apabila bumi beredar mengelilingi matahari dan merentasi laluan orbit Komet Swift-Tuttle,” katanya.
![]() |
Fenomena itu berlaku setiap tahun apabila Buni mengelilingi Matahari, merentasi laluan orbit Komet Swift Tuttle |
MYSA turut menjelaskan bahawa Komet Swift-Tuttle dianggarkan mempunyai nukleus berdiameter sebesar 26 kilometer (km) dan mengambil masa selama 133 tahun untuk melengkapkan orbitnya.
Menurut MYSA, kali terakhir komet itu mendekati bumi ialah pada 1992 dan dijangka menghampiri bumi semula pada 2126.
“Ketika komet itu mengorbit menghampiri matahari, debu-debu komet yang terbebas disebabkan proses pemejalwapan akhirnya akan berserakan dan membentuk laluan dipenuhi sisa-sisa komet berkenaan.
“Sisa tinggalan ini akhirnya akan memasuki atmosfera bumi dan terbakar lalu membentuk jalur bersinar yang panjang,” katanya dalam sebuah kenyataan di laman media sosial Facebook.
Bagi mencerap Hujan Meteor Perseids, MYSA memberitahu, antara langkah yang boleh diambil ialah berada di kawasan lapang yang selamat serta keadaan persekitaran dan langit gelap atau tiada gangguan cahaya, selain pandangan tidak terhalang dengan bangunan tinggi, pokok atau rumah.
“Jauhi persekitaran yang bercahaya. Lebih gelap, lebih baik. Sesuaikan mata anda dengan keadaan gelap selama 20 minit.
“Tidak perlu memfokus ke arah buruj Perseus sahaja untuk melihat hujan meteor ini kerana ia boleh muncul dari pelbagai arah dan pada bila-bila masa,” katanya.
Dalam pada itu, MYSA itu turut memaklumkan, komet adalah pepejal gabungan batuan debu dengan ais yang tersebar apabila mengorbit mendekati matahari.
“Komet Swift-Tuttle kali pertama dijumpai pada 1862 oleh Lewis Swift dan Horace Tuttle.
"Perseus pula ialah buruj langit utara dan terletak antara buruj Auriga dengan buruj Cassiopeia.
Mirfak adalah bintang paling terang di Persues dan saiznya lebih besar daripada matahari,” ujarnya lagi.