![]() |
Api marak memusnahkan kediaman sekaligus meragut nyawa kanak-kanak lelaki semasa kejadian kebakaran di Lahad Datu |
LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung selepas gagal diselamatkan dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Telisai malam tadi (Rabu).
Dalam kejadian sekitar pukul 8.30 malam itu, mayat Mohd Qalish Abdul Jumain, lapan tahun, ditemui rentung di ruang bilik dalam rumah berkenaan oleh anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, ibu mangsa sewaktu kejadian dikatakan cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal disebabkan api sudah semakin marak.
"Ibu mangsa dipercayai hanya berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak lain yang turut berada di dalam rumah sama semasa kejadian.
"Mangsa dikatakan tinggal bersama 13 ahli keluarga lain namun sewaktu kejadian hanya kanak-kanak terbabit gagal diselamatkan sewaktu kebakaran,” katanya ketika dihubungi pagi Khamis.
Mengulas lanjut, Sumsoa memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 9.46 malam.
"Lapan anggota dan sebuah jentera bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran dilaporkan membabitkan sebuah rumah yang terbakar sepenuhnya.
“Pasukan bomba kemudiannya bertindak menjalankan operasi pemadaman.
"Kebakaran dapat dikawal pada pukul 10.54 malam sebelum mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung sekitar pukul 10.59 malam di ruangan bilik.
"Anggota bomba bertugas seterusnya mengeluarkan mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada pukul 12.45 tengah malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba.