Hero Perang Dunia II sentiasa dalam ingatan Sabah: Hajiji



Joniston (duduk, tengah) hadir mewakili Hajiji

SANDAKAN: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengenang dan tidak melupakan keberanian serta pengorbanan lebih 2,000 tentera sekutu Australia dan Britain, termasuk orang awam yang terkorban di Kem Tawanan Perang Sandakan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada pertengahan tahun 1942, askar-askar telah dipindahkan dari kem tawanan berhampiran tempat tersebut.


"Semua tahanan dipilih untuk memindahkan barang, dengan berjalan kaki bagi jarak lebih 260 kilometer, ke dalam hutan Borneo sehingga ke Ranau.


"Masing-masing berjalan dalam keadaan hujan, cuaca lembab dan berbahaya sambil membawa bekalan sehingga 25 kilogram bagi setiap seorang.


"Daripada 1,066 orang, hanya enam orang sahaja yang terselamat dan menceritakan kisah ini, kerana dalam kalangan mereka, ramai yang jatuh sakit," katanya.


Hajiji berkata demikian dalam ucapannya sempena Hari Peringatan Sandakan, di sini pada Khamis.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai.


Tambah Hajiji lagi, setiap tahun ramai ahli keluarga dan waris askar-askar yang terkorban hadir dalam majis yang diadakan untuk memperingati lebih 2,000 tentera bersekutu Australia dan British itu.


Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa mengingati orang tempatan yang terkorban semasa membantu tentera bersekutu, sekaligus turut menjadi wira negara.


"Perang Dunia Kedua berakhir dan tahun ini masuk tahun ke-79, semua yang terkorban akan terus hidup dan dikenang dalam sanubari ahli keluarga dan waris mereka.


"Pagi ini adalah masa yang tepat untuk kita mengenang semula pengorbanan mereka dan penting untuk semua pihak terus komited dalam usaha membawa keamanan sekaligus mengekalkannya," katanya lagi.


Dalam pada itu, Hajiji juga berkata hari peringatan itu turut dilihat sebagai satu usaha memupuk hubungan antara Australia, Britain dan negeri Sabah.


Hajiji turut memuji inisiatif Majlis Perbandaran Sandakan, Lembaga Pelancongan Sabah dan Jawatankuasa Penganjur kerana terus berus mengadakan hari peringatan tersebut.


"Terima kasih kepada pihak 'Office of Australian War Graves serta Suruhanjaya Tinggi Australia dan British Malaysia di atas sokongan berterusan dalam mengadakan hari peringatan ini," ujar beliau lagi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama