![]() |
Sabin |
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bakal melaksanakan sistem tempat letak kereta digital sepenuhnya menerusi aplikasi Sabah Smart Parking bermula 16 Oktober depan.
Dilaksanakan sebagai salah satu usaha dalam penambahbaikan perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta awam di Banda Raya Kota Kinabalu menggantikan sistem tempat letak kereta berkupon yang sedia ada.
Mayor, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, aplikasi Sabah Smart Parking berkenaan juga diperkenalkan sebagai langkah pendigitalan dalam pengurusan perkhidmatan di bandar raya.
"Hal ini secara tidak langsung menyahut aspirasi Kerajaan Negeri yang menuju ke arah pembudayaan dan pembangunan pendigitalan di setiap perkhidmatan.
"Selain itu, objektif mewujudkan sistem perkhidmatan ini juga adalah mahu memberikan kemudahan kepada para pengguna selain menjimatkan masa kerana tidak perlu lagi menggores kupon.
"Bagaimanapun, kupon letak kereta yang ada ketika ini masih boleh digunapakai sehingga sistem baharu dilaksanakan sepenuhnya dengan Aplikasi Sabah Smart Parking pada 16 Oktober depan," katanya.
Sabin berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pra Pelancaran Aplikasi Sabah Smart Parking oleh DBKK Holdings Sdn Bhd, baru-baru ini.
Sementara itu, Sabin memaklumkan pelaksanaan sistem tempat letak kereta baharu itu kelak juga dilihat dapat mengurangkan kos dikeluarkan DBKK sehingga 30 peratus.
"Selain itu, DBKK turut mampu meningkatkan kutipan kepada 20 peratus berbanding sistem tempat letak kereta digital di beberapa lokal autoriti di Semenanjung.
"Kos mereka sebenarnya boleh dikatakan lebih tinggi," katanya.