28,940 syarikat berdaftar di Sabah bakal laksana sistem pembayaran cukai e-Invois

 

Abu Tariq ketika ditemui pemberita semasa Majlis Hi-Tea bersama media Sabah

KOTA KINABALU: Sebanyak 28,940 syarikat berdaftar di Sabah bakal melaksanakan sistem pembayaran cukai e-Invois yang bertujuan bagi memperkukuhkan sistem percukaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, terdapat sebanyak 260 syarikat berdaftar di Sabah bagi fasa pertama yang bermula 1 Ogos 2024.

"Tarikh berkenaan adalah pelaksanaan mandatori bagi perniagaan yang mencapai nilai ambang jualan RM100 juta setahun.

"Fasa kedua pula pada 1 Januari 2025 melibatkan 680 syarikat berdaftar dengan pendapatan atau jualan tahunan RM25 juta sehingga RM100 juta.

"Bagi fasa ketiga, terdapat 26,800 syarikat berdaftar di Sabah terlibat dan terdapat dua pilihan mekanisme penghantaran e-Invois yang boleh dipilih oleh pembayar cukai sama ada melalui Portal MyInvois atau Application Programming Interface (API)," katanya selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, pada Rabu.

Abu menjelaskan, statistik e-Invois yang berjaya diterima HASiL sehingga 6 Ogos 2024 di seluruh negara adalah sebanyak 2 juta transaksi melibatkan 2,500 pembayar cukai dan daripada jumlah tersebut, Sabah merekodkan 18,000 transaksi.

Sementara itu, Abu Tariq pada Majlis Hi-Tea bersama media Sabah, petang Khamis menggalakkan syarikat dengan pendapatan kurang RM100 juta setahun untuk menyertai sistem e-Invois lebih awal sebelum tarikh pelaksanaannya tahun hadapan.

Beliau berkata, ia bagi memudahkan pihak syarikat membiasakan dengan penggunaan sistem e-Invois apabila pelaksanaan mula dibuat bermula 1 Januari 2025.

"Walaupun tarikh pelaksaan sistem e-Invois untuk syarikat berpendapatan di bawah RM100 juta akan bermula 1 Januari 2025 namun lebih baik andai syarikat-syarikat ini menyertai sistem terbabit sekarang. 

"Kita lihat ia akan memudahkan pihak pembayar sekira tarikh pelaksanaan mula diwajibkan kelak," katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pembayaran cukai dari dalam kalangan selebriti dan pempengaruh, Abu Tariq menyatakan golongan berkenaan sentiasa memberikan kerjasama untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk membayar cukai. 

"Kita sentiasa dapat kerjasama daripada mereka bagi pembayaran cukai.

"Ada juga antara selebriti ini yang jadi rakan strategik LHDN untuk  menyebarkan maklumat berkaitan cukai," ujar beliau lagi.



Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama